SHAH ALAM: Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) didakwa masih belum memuktamadkan rundingan agihan kerusi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, perkara itu belum dimaklumkan oleh jawatankuasa rundingan (pihak UMNO) berkenaan sebarang keputusan dibuat dalam perundingan tersebut untuk membolehkan jawatankuasa pelaksanaan memulakan kempen.
“Kita tak dapat apa-apa makluman keputusan yang dimuktamadkan oleh jawatankuasa rundingan. Kalau ada, jawatankuasa pelaksanaan pasti akan dimaklum untuk memulakan kerja-kerja perancangan dan pelaksanaan PRN,” katanya ketika dihubungi.
Jelas Mohd. Imran yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberitahu, UMNO mencadangkan untuk bertanding satu kawasan DUN dalam setiap 22 parlimen di seluruh negeri serta berhasrat merampas kembali kerusi dimenangi Bersatu yang melompat parti sebelum ini.
“Itu antara elemen atau cadangan dibawa oleh UMNO ke dalam rundingan kedua-dua pihak. Selain itu UMNO juga mahu mengekalkan lima kerusi dimenangi dalam pilihan raya sebelum ini kekal ditandingi BN. Namun itu pun masih belum muktamad,” jelasnya.
Berdasarkan komposisi semasa BN-PH dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, PH dan komponennya mempunyai 41 kerusi (PKR-19, DAP-16, Amanah-6), sementara BN pula mempunyai lima kerusi milik UMNO.
Sementara itu, kawasan disandang oleh ADUN lompat parti yang disasar untuk ditandingi UMNO seperti Batang Kali, Jeram, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Selat Klang dan Dengkil.
Terdahulu, Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan rundingan agihan kerusi dimuktamadkan pada Ahad lalu untuk dibawa kepada rundingan di peringkat pimpinan pusat BN-PH.
Malah Menteri Besar Selangor itu memaklumkan berlaku pertindihan kerusi antara PH dan BN negeri melibatkan 20 peratus daripada 56 kerusi, namun yakin perkara tersebut akan diselesaikan oleh pimpinan di peringkat pusat.
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini dilapor menyatakan gabungan BN-PH belum memuktamadkan sebarang agihan kerusia di keenam-enam negeri dalam PRN nanti.
Beliau memaklumkan, rundingan tersebut akan diselesaikan selepas kesemua DUN dibubarkan untuk menghadapi PRN.