Ringgit lepasi paras RM4.6 berbanding dolar AS - Utusan Malaysia

Ringgit lepasi paras RM4.6 berbanding dolar AS

ringgit
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit te­rus jatuh dan mencecah paras RM4.6 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu paras te­rendah dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Pada pukul 9 pagi semalam, mata wang tempatan didagangkan pada 4.6090/6130 berban­ding dolar AS sejak penutupan Rabu pada 4.5920/5950. Ringgit terus susut nilai apabila ditutup pada 4.6105/6240 semalam.

Ringgit berbanding dolar Singapura juga jatuh ke paras terendah dalam tempoh 20 tahun apabila dibuka pada 3.4116/3.4170 semalam.

Penganalisis ekonomi berpendapat, kejatuhan ringgit di­se­babkan pengukuhan dolar AS berikutan jangkaan berlaku kenaikan kadar faedah, selain isu siling hutang.

Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, keadaan itu disebabkan keyakinan pelabur asing dan penganalisis kewangan menurun terhadap kerajaan selain khabar angin mengenai kemungkinan kejatuhan dolar AS.

Menurut beliau, krisis ekonomi di AS disebabkan inflasi dan krisis kewangan semakin memburuk apabila siling pinjaman kerajaan negara itu telah mencecah had iaitu pada kira-kira AS$31.4 trilion.

“Perkara ini terpaksa dibawa ke mesyuarat Kongres bagi meluluskan penetapan baharu had siling pinjaman kerajaan.

“Walaupun Presiden AS, Joe Biden daripada parti Demokratik, namun kuasanya tidak melebihi kuasa Kongres yang majoritinya daripada parti Republikan.Jadi, Biden memerlukan sokongan Kongres AS untuk penetapan baharu tersebut yang tidak dipersetujui oleh Republikan dan mereka mempunyai masa sehingga hujung minggu ini untuk mencapai keputusan muktamad.

BERKERAS

“Jika Kongres Republikan berkeras tidak mahu mening­katkan had hutang, dolar AS akan runtuh sekali gus menjejaskan keseluruhan ekonomi dunia yang bergantung kepada dolar AS,” kata beliau.

Perkara itu aan memberi kesan besar kepada Malaysia kerana menurut beliau, negara bergantung kepada mata wang dolar AS untuk urus niaga import dan eksport, selain banyak simpanan rizab Bank Negara Malaysi dalam bentuk dolar AS.

Katanya, negara juga akan merasai kesan tersebut sekiranya memegang bon dalam mata wang berkenaan.

“Ini juga bakal memberi kesan kepada institusi dana negara termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan lain-lain sekiranya mereka mempunyai banyak bon dalam dolar AS.

“Secara umumnya, ringgit mungkin terus tertekan jika dolar AS runtuh kerana kebergantungan kita yang besar terhadap mata wang AS,” ujarnya.

Tegas beliau, ringgit dijangka terus melemah kerana wujudnya sentimen ‘kebersamaan’ mata wang negara de­ngan dolar AS.

STRATEGI

“Oleh itu, kita perlu segera melakukan strategi ‘bercerai’ dengan dolar AS seperti mula menggunakan mata wang lain dalam urusan import eksport. Ini kerana, walaupun kita menggunakan dolar AS, namun urus niaga kita lebih kepada negara ASEAN seperti China dan Singapura,” katanya.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpendapat, ketidaktentuan di AS menyebabkan pelabur beralih kepada aset yang dianggap stabil dan selamat iaitu dolar AS.

“Ini menyebabkan berlakunya peningkatan permintaan dollar AS, sekali gus menyebabkan mata wang dunia lain termasuk ringgit merudum.

“Namun saya melihat kesan negatif ini sementara kerana apabila ketetapan had siling hutang tersebut dimuktamadkan, dolar AS tidak akan berte­rusan mengukuh dan ringgit akan menunjukkan pemulihan,” katanya.

Ahmed Razman berkata, bagi mengelak ketidakstabilan ringgit berterusan, kerajaan perlu mencari alternatif mata wang baharu, mungkin mata wang kripto yang bersandarkan teknologi blockchain tetapi dijamin kerajaan se­perti CBDC (Central Bank Digital Currency) dan ditambat de­ngan komoditi.

“Ini membolehkan ia stabil untuk urusan perniagaan domestik dan juga dagangan dengan negara tertentu dan juga tidak terpengaruh dengan spekulasi dan pergerakan dolar AS,” katanya.

Mengenai ringgit berban­ding dolar Singapura, beliau berkata, dolar Singapura me­ngukuh selepas pihak berkuasa kewangan negara itu membeli banyak mata wangnya bagi mengawal inflasi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN