KLUANG: Remaja perempuan yang dilaporkan hilang ketika pergi ke sekolah oleh ibunya pada 7 Mei lalu ditemukan selamat di Perak.
Remaja berkenaan bagaimana pun hanya memaklumkan lokasinya kepada rakan sekolah keesokan harinya dan maklumat itu kemudian disampaikan kepada ibu bapanya.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh mengesahkan Nurybalqis Nur Ain Mohd. Bahrim, 16, sudah ditemukan, namun masih berada di Manjung, Perak bersama keluarga yang datang untuk menjemputnya pulang.
Walau bagaimanapun, katanya, siasatan kes kehilangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil (SSAJ) Kluang itu akan diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kejadian tersebut.
Pada 8 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan Nurybalqis Nur Ain dilaporkan hilang ketika pergi ke sekolah selepas dihantar oleh ibunya, Suhana Murah, 44.
Kehilangan remaja itu disedari ketika ibunya
ingin menjemput dia pulang selepas tamat sesi persekolahan kira-kira pukul 3 petang.
Nurybalqis Nur Ain yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik pada mulanya disangkakan bertugas di perpustakaan sekolah namun gagal ditemukan sebelum guru kelas menyatakan pelajar itu tidak hadir ke sekolah pada hari tersebut.
Rakan remaja itu memaklumkan kepada keluarga bahawa Nurybalqis ada menyatakan hasrat untuk ke Perak. – UTUSAN