Polis giat buru pencuri batu nisan - Utusan Malaysia

Polis giat buru pencuri batu nisan

TIMBALAN Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Lim Jit Huey (tengah) meninjau beberapa kubur yang kehilangan batu nisan dipercayai dicuri di Tanah Perkuburan Islam Taman Istimewa Pandan, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis giat mengesan individu yang bertanggungjawab atas kehilangan lebih 10 batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, Taman Istimewa Pandan, di sini yang didakwa dicuri.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hingga kini pihaknya masih belum mendapat petunjuk dalam mengesan dalang yang melakukan perbuatan tersebut.

Beliau berkata, setakat ini, anggota dan pegawainya telah melakukan pemeriksaan dan tangkapan terhadap penagih dadah di bandar raya dan di kawasan sekitar tanah perkuburan itu.

“Kita juga sudah membuat pemeriksaan terhadap pengusaha batu nisan di kawasan berhampiran tetapi tiada petanda positif,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Media melaporkan kehilangan lebih 10 batu nisan di kubur yang dipercayai berlaku sejak akhir tahun lalu hingga sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Jamaludin A. Hamid telah mengadakan lawatan dan tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Taman Istimewa, kelmarin dan mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kes kecurian terus berlaku.

“Pihak Pengurusan tanah perkuburan itu akan kuatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) seperti waktu ziarah tanah perkuburan bermula pukul 7 pagi hingga 6 petang. Selepas waktu tersebut, jika ada sebarang pertanyaan atau permasalahan  boleh rujuk pihak pengurusan tanah perkuburan.

“Pihak polis mencadangkan supaya pihak pengurusan tanah perkuburan menutup semua pintu sedia ada dan hanya menggunakan pintu utama untuk urusan ziarah dan pengebumian. Pihak pengurusan tanah akan menambah kakitangan atau sukarelawan bagi meningkatkan aktiviti rondaan di kawasan tanah perkuburan 

“Kawasan tanah perkuburan akan dinaik taraf dan diselenggara dari segi keceriaan, kebersihan dan pencahayaan lampu serta bangunan stor pengurusan tanah perkuburan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya