SEREMBAN: Satu garis panduan akan disediakan kepada pemilik inap desa yang menjalankan perniagaan mereka itu di dalam kawasan taman-taman perumahan susulan timbulnya rungutan dalam kalangan penduduk.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, antara rungutan dan laporan yang diterima itu termasuklah berkaitan longgokan sampah serta isu melibatkan kawasan meletakkan kenderaan.
“Kerajaan negeri telah merancang dan menerusi Mesyuarat Exco pada hari ini, keputusan diambil supaya mereka (pemilik inap desa) dikenakan kategori lain dalam pemilikan rumah ini.
“Ini bermakna jika mereka menjadikan rumah mereka di taman perumahan sebagai inap desa ia merupakan satu perniagaan, jadi kita akan caj kepada kos perniagaan, namun ini masih dalam peringkat kajian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Jelas beliau, justeru pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta untuk mencari kaedah supaya masalah ini tidak berterusan sehingga memberikan kesan kepada penduduk sekitar.
“Berkemungkinan pemilik (inap desa) itu boleh dikenakan bayaran lesen perniagaan selain meminta PBT agar mengeluarkan cukai taksiran perniagaan dan sekiranya mereka memohon kita boleh meletakkan syarat-syarat supaya ada peraturan untuk diikuti tanpa mengganggu jiran lain.
“Selain itu, larangan minum minuman keras di inap desa itu mungkin boleh menjadi prasyarat bagi mempertimbangkan permohonan lesen tersebut bagi menghormati kawasan perumahan sedia ada,” katanya yang turut memaklumkan aduan banyak diterima dari kawasan Seremban dan Port Dickson.-UTUSAN.