Penggunaan air di Johor melonjak, bekalan masih cukup - Utusan Malaysia

Penggunaan air di Johor melonjak, bekalan masih cukup

ANUAR ABDUL GHANI (kanan) beramah mesra dengan tetamu yang memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ranhill SAJ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Cuaca panas ekstrem sejak bulan lalu menyebabkan jumlah penggunaan air di negeri ini meningkat kepada 50 juta liter air sehari (MLB).

Pengarah Operasi Ranhill SAJ Sdn. Bhd., Anuar Abdul Ghani berkata, berdasar rekod pihaknya, penggunaan air itu melonjak kepada 1,050 MLB berbanding 1,000 MLB sehari ini, sebelum ini.

“Kadar peningkatan penggunaan air itu dikesan berlaku, khususnya di Johor Bahru yang merekodkan peningkatan ketara. Purata penggunaan air di negeri ini adalah 2,200 MLB sebulan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ranhill SAJ, di sini hari ini.

Pada 5 Mei lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dilaporkan menyenaraikan lapan negeri yang mudah dipengaruhi fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca kering dan panas melampau berdasarkan pengalaman kejadian El-Nino tahun 2015-2016. Negeri terbabit ialah Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kebarangkalian berlakunya El-Nino adalah 57 peratus pada bulan Jun hingga September 2023 dan meningkat menjadi 62 peratus pada September hingga November 2023.

Mengenai bekalan air di empangan di negeri ini, Anuar memberitahu, semua 14 empangan di negeri ini berada dalam keadaan normal dan beroperasi seperti biasa.

Menurutnya, setakat ini masih belum ada empangan di negeri ini yang merekodkan penurunan paras air walaupun berdepan cuaca panas melampau ketika ini.

“Secara keseluruhannya, semua 14 empangan, loji rawatan air (LRA) dan ‘intake’ sungai di Johor masih beroperasi dalam keadaan normal dan seperti biasa. Malah tiga empangan di Juaseh, Ledang dan Linggiu pula merekodkan paras air lebih daripada normal dengan berlaku limpahan air berikutan hujan beberapa hari lalu,” katanya.

Anuar berkata, Ranhill SAJ tetap merangka pelan mitigasi sekiranya berlaku situasi luar jangka termasuk perubahan cuaca panas yang lebih ekstrem.

“Jika keadaan semakin buruk dan pelaksanaan bekalan air berjadual perlu dibuat, SAJ perlu mendapatkan kelulusan SPAN. Perlu diingat bekalan air berjadual atau catuan bekalan air tidak dilaksanakan ketika paras empangan sudah turun, namun ada pengiraan khas termasuk anggaran sama ada bekalan air akan terjejas dalam tempoh sebulan,” katanya.

Katanya, pada masa ini Johor tidak memerlukan pembenihan awan kerana bekalan masih mencukupi untuk tempoh beberapa bulan lagi sekira tiada hujan di kawasan tadahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.