KUALA LUMPUR: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dan Zoo Negara memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang.
Pemangku Ketua Pengakap Negara, Major Jeneral Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin berkata, pemeteraian MoU itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan dan kebajikan haiwan kepada ahli-ahli pengakap.
“Fokus dan penekanan kami dalam MoU adalah untuk membangunkan program pendidikan mengenai pemuliharaan alam sekitar, pendidikan dan kebajikan haiwan untuk pengakap.
“Tambahan, fokus kami seterusnya adalah untuk menjalinkan kolaborasi untuk meningkatkan kesedaran dan mempromosikan perlindungan hidupan liar melalui usaha komunikasi yang diselaraskan,” katanya ketika menghadiri majlis menandatangani MoU di Zoo Negara baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Zoo Negara, Datuk Sr. Zaharin Md Arif.
Sementara itu, kata Mohd. Zin, MoU itu juga akan memberi tumpuan kepada aspek rangkaian dan penglibatan pihak berkepentingan untuk memudahkan kerjasama dan pengetahuan kedua-dua pihak.
“Kami akan bekerjasama dengan pihak Zoo Negara dalam penyelidikan dan pemuliharaan haiwan dan flora.
“Projek yang akan dilakukan bertujuan untuk melindungi spesies terancam dan habitatnya, termasuk pengumpulan data, pemantauan, analisis dan pembangunan strategi,” katanya.
Sementara itu, PPM akan melantik Duta Belia Pengakap untuk menjalankan advokasi bagi membantu perjuangan-perjuangan Zoo Negara.
“Kami juga akan menyediakan lencana khas khusus untuk ahli yang menyertai program di Zoo Negara,” katanya. -UTUSAN