GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan bagi membawa seorang lelaki yang patah kaki kanan semasa menjadi Gunung Tahan, Pahang semalam.
Mangsa, Islahudian Abd. Rahim, 41, dibawa keluar menggunakan pesawat Agusta Westland 139 (AW139) untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Gua Musang.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Hasrizal Kamaruzzaman, pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Subang, Selangor pada pukul 4.20 petang dan tiba di puncak Gunung Tahan satu jam kemudian.
Menurutnya, mangsa dipercayai menaiki Gunung Tahan tiga lagi rakan termasuk seorang wanita.
“Mereka menaiki gunung melalui Merapoh dan dijangka turun melalui Gunung Tahan. Namun apabila sampai di laluan menurun di Gedong, mangsa didapati patah kaki kanan dan sukar untuk berjalan.
“Mangsa dibawa ke puncak Gunung Tahan untuk mendapatkan bantuan menyelamatkan dari udara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd. Hasrizal memberitahu, pesawat selamat mendarat di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 5.40 petang dan mangsa di bawa ke hospital menggunakan ambulans.
Katanya, operasi itu diketuai oleh juruterbang, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Mohd. Zukhairee Zabidi bersama empat lagi anggota.-UTUSAN