JOHOR BAHRU: Tindakan pantas orang awam mengeluarkan seorang pemandu yang tidak sedarkan diri selepas kenderaannya terbabas berjaya menyelamatkan nyawa mangsa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II, Noor Azhan Ahmad berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku berhampiran kilang Idemitsu, dekat sini pada pukul 2.58 pagi tadi.
“Pemandu tersebut seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun tidak sedarkan diri selepas kenderaannya terlibat dalam kemalangan menyebabkan kenderaannya terbakar.
“Orang awam bertindak pantas mengeluarkan mangsa sebelum kenderaan tersebut terbakar kira-kira 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Noor Azhan berkata, mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Seramai tujuh anggota berserta sebuah jentera bomba yang dikejarkan ke lokasi kejadian membuat pemadaman kebakaran dan operasi berkenaan tamat pukul 3.40 pagi. – UTUSAN










