KANGAR: Dua peguam yang mewakili pendakwah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar dihalang masuk ke dalam bilik temu duga sewaktu hadir bagi memberi keterangan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), hari ini.
Wadi Annuar bersama dua peguamnya, Mohd Jamil Yaacob dan Mohamad Kamarulzman Jusoh tiba di perkarangan bangunan JAIPs pada pukul 10.30 pagi dan turut disambut oleh pegawai jabatan itu.
Menurut Wadi Annuar, sewaktu tiba di pekarangan bangunan itu, dia bersama dua peguamnya pada mulanya dihalang masuk sedangkan beliau memaklumkan akan hadir bersama pihak terlibat bagi memberi keterangan.
“Bagaimanapun, selepas pegawai terlibat menghubungi Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim, kami bertiga kemudiannya dibenarkan masuk ke dalam bangunan itu untuk memberi keterangan.
“Selepas naik ke tingkat atas, dalam masa 10 minit kami dipanggil masuk bagi memberi keterangan, namun dua peguam saya tidak dibenarkan turut sama berada dalam bilik itu,” katanya menerusi sidang media yang berlangsung Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, di sini, hari ini.
Wadi Annuar sebelum ini diminta tampil memberi keterangan di JAIPs berhubung isu tauliah mengajar sewaktu menghadiri Program Solat Tarawih dan Sembang Santai di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kampung Abi, Padang Machang, pada 29 Mac lepas.
Mengulas lanjut, Wadi Annuar berkata, selepas berlaku sedikit perdebatan, dia memilih untuk beredar dari bangunan JAIPs itu memandangkan pihak terlibat memberi alasan tidak munasabah dengan menghalang dua peguamnya untuk masuk sama ke dalam bilik berkenaan.
“Saya berharap agar JAIPs dapat memberikan hak yang sewajarnya sewaktu proses kami memberi keterangan tersebut.
“Kami berasa pelik sebab kita dah selalu bagi kerterangan bersama polis mahu pun pihak berkuasa dengan turut dihadiri peguam kami, namun, kali ini mereka tidak dibenarkan masuk,” katanya.
Sementara itu, Mohd Jamil berkata, pihaknya mempersoalkan kepada pegawai JAIPs terlibat berhubung halangan bagi peguam pendakwah itu untuk turut sama dalam bilik temu duga berkenaan, namun, pihak terlibat gagal memberi jawapan sebaiknya.
Ujarnya, wakil JAIPs memberi alasan bahawa peguam yang mewakili Wadi Annuar tidak berada di tempat lokasi sewaktu kejadian itu berlaku.
“Pada kami, Ustaz Wadi Annuar bagi kerjasama sepenuhnya dan beliau mengetahui hak-haknya.
“Kami amat kecewa apabila pegawai JAIPs maklumkan bahawa mereka mengikut undang-undang enakmen yang didakwa lebih tinggi daripada Perlembagaan Persekutuan,” katanya. –UTUSAN