Op Tiris: 37,570 liter diesel subsidi diselamatkan di Port Dickson - Utusan Malaysia

Op Tiris: 37,570 liter diesel subsidi diselamatkan di Port Dickson

PASUKAN penguatkuasa KPDN Negeri Sembilan memeriksa lori tangki dan 'skid tank' mengandungi diesel bersubsidi dalam Op Tiris di Kampung Sungai, Port Dickson.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebanyak 37,570 liter barang kawalan berjadual disyaki diesel bersubsidi berjaya diselamatkan dalam Op Tiris yang dijalankan di Kampung Sungai Nipah di sini. 

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, kegiatan tersebut terbongkar hasil serbuan pihaknya di lokasi tersebut yang merupakan ladang kelapa sawit pada pukul 11.30 pagi, Rabu lalu dan selesai sepenuhnya semalam.

“Lokasi serbuan yang berada di dalam ladang kelapa sawit menemui premis terbuka yang mempunyai dua buah skid tank serta dua buah lori tangki yang masih belum dimatikan enjinnya. 

“Keadaan semasa serbuan sedang berlaku proses pemindahan minyak diesel dari sebuah lori tangki ke dalam lori tangki kedua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Zahir berkata, bagaimanapun semasa serbuan dilakukan tiada individu yang ditemui berada di premis dan disyaki telah melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.

“Pemeriksaan menyeluruh ke atas premis itu mendapati terdapat minyak yang disyaki diesel ditemui dalam skid tank dan lori tangki.  Turut disita dalam serbuan tersebut, dua buah lori tangki dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM114,775.50,” katanya.

Jelas Muhammad Zahir, tindakan sitaan dibuat bagi kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan. 

“Satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran termasuk sumber minyak diesel diperoleh dan diedarkan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.