PETALING JAYA: Kira-kira sejuta pekerja di bawah perusahaan makro, kecil dan sederhana (PMKS) berisiko diberhentikan kerja jika cadangan meningkatkan caruman majikan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaksanakan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Februari lalu merekodkan kadar pengangguran negara menurun kepada 3.5 peratus iaitu sebanyak 591,000. Namun jika kerajaan mewajibkan kenaikan caruman majikan sehingga 20 peratus dikhuatiri angka pengangguran melonjak mendadak.
Sektor PMKS kebanyakan dimiliki bumiputera dan saiz pekerjanya antara lima hingga 200 pekerja yang operasinya berskala kecil atau sederhana bagi membekalkan khidmat dan produk kepada pasaran tempatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemangku Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, jika cadangan peningkatan kadar caruman majikan sehingga 20 peratus ke dalam akaun KWSP pekerja benar-benar dilaksanakan kos operasi PMKS akan melonjak.
Menurut beliau, Malaysia mempunyai sekitar sejuta PMKS yang rata-ratanya dimiliki Melayu dan majikan-majikan berkenaan ketika ini sedang bergelut mengstruktur semula perniagaan masing-masing akibat pandemik Covid-19 selain menyesuaikan perniagaan dengan tekanan ekonomi semasa.
“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), majoriti sedang ‘membetulkan’ perniagaan-perniagaan mereka, jadi sangat tidak wajar cadangan tersebut dilaksanakan oleh kerajaan terutama melihat kepada keadaan ekonomi ketika ini juga.
PEKERJA
“Jika benar dilaksanakan, ia akan menyebabkan keadaan di mana mungkin setiap satu daripada sejuta PMKS itu terpaksa membuang sekurang-kurangnya seorang pekerja bagi berhadapan kenaikan kos operasi, jadi sejuta juga pekerja bakal menerima tempias.
“Sebagai majikan gaji dan sewa adalah dua perkara utama, jadi kalau tidak mampu untuk membayar penambahan caruman tersebut banyak orang berhadapan masalah,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jemaah Menteri dijangka membincangkan cadangan mengenai tambahan peratusan KWSP bahagian majikan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus waktu ini.
Anwar berkata, beliau mengesahkan bahawa cadangan itu pernah dikemukakan namun perkara itu belum dirujuk kepada Jemaah Menteri.
Cadangan tersebut didakwa sebagai langkah mengatasi kebimbangan kerajaan apabila 71 peratus pencarum KWSP aktif yang berumur 55 tahun ke bawah tidak mempunyai wang mencukupi untuk bersara di atas paras kemiskinan negara.
Peratusan tinggi tersebut adalah kesan daripada empat pengeluaran khas KWSP semasa penularan pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, Norsyahrin berpendapat, kerajaan perlu memikirkan langkah merancakkan kembali ekonomi negara supaya dapat mewujudkan kesan domino yang manfaatnya akan dinikmati ramai tanpa mengira kumpulan.
“Bukan sewenang-wenangnya menaikkan caruman KWSP bahagian majikan sahaja. Bagaimana dengan ekonomi dengan peluang perniagaan? Kerajaan perlu mengambil langkah yang memberi manfaat kepada keseluruhan bukan fikir pihak pekerja,” katanya.
KADAR GAJI
Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin pula menyarankan kerajaan meningkatkan kadar gaji minimum kira-kira RM150 kepada pekerja sekali gus memberi manfaat langsung berbanding meningkatkan caruman majikan ke dalam akaun KWSP pekerja.
“Cadangan tambah caruman KWSP memang bagus untuk masa tua tetapi masalah pekerja masa sekarang mereka tiada duit untuk berbelanja disebabkan kos sara hidup meningkat.
“Jadi cadangan saya lebih baik kita naikkan gaji pekerja sekitar RM150 berbanding masukkan dalam KWSP.
“Ini akan memastikan mereka mempunyai lebihan duit di tangan untuk berbelanja dan mampu mengurangkan kos sara hidup.
“Selain itu, ini juga akan membantu ekonomi kerana duit tersebut akan masuk kepada pasaran dan turut membantu peniaga naik semula susulan oleh terjadinya multiplier effect (kesan pengganda),” katanya.
Kata beliau, selepas ekonomi kembali rancak dan pulih kerajaan boleh memikirkan semula pelaksanaan menambahkan caruman majikan dalam KWSP pekerja.
Bagaimanapun, kata Ameer, kenaikan caruman KWSP tersebut tidak boleh drastik tetapi secara beransur-ansur bagi membolehkan majikan mampu menyesuaikan kos tersebut. – UTUSAN







