KUALA LUMPUR: Mesyuarat pertama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dijadual pada 6 Jun ini akan memberi fokus kepada laporan siasatan projek kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Sebelum itu, projek tersebut mencetuskan kontroversi apabila tiada satu kapal disiapkan selepas kerajaan membayar RM6.083 bilion kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.(BNS) yang diberi kontrak secara rundingan terus.
Mesyuarat pertama PAC melibatkan 12 keanggotaan baharu akan dipengerusikan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
PAC turut dijadual mengadakan prosiding dan lawatan kerja pertamanya ke limbungan Kapal Boustead Heavy Industries Corp (BHIC) di Lumut, Perak dua hari pada 9 dan 10 Jun ini bagi mengetahui perkembangan projek LCS.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mas Ermieyati berkata, tarikh tersebut akan menjadi mesyuarat pertama jawatankuasa itu serentak dengan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Majlis Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat, pada minggu kedua.
“InsyaAllah, 6 Jun nanti akan menjadi mesyuarat dan taklimat pertama PAC,” kata beliau semalam.
TARIKH
Sementara itu, Timbalan PAC, Wong Shu Qi turut mengesahkan tarikh mesyuarat dan prosiding PAC yang dijadual, bagaimanapun, pihaknya belum menghantar notis jemputan kepada ahli-ahli dilantik.
“Untuk makluman, kami akan bermesyuarat dan memberi taklimat pertama kepada ahli PAC pada 6 Jun ini. Prosiding pertama dan juga lawatan kerja akan diadakan pada 9 dan 10 Jun nanti,” katanya semalam.
Ahli Parlimen Kluang itu tidak menjelaskan lanjut jika PAC telah menerima laporan kemajuan atau laporan tindakan susulan kementerian yang terlibat berkenaan syor-syor dikemuka jawatankuasa PAC terdahulu.
Beliau juga tidak memberitahu perincian saksi-saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan.
“Itu sebab kami mengadakan prosiding kali ini untuk meneliti laporan susulan dan tindakan setiap tiga bulan,” kata Shu Qi.
PAC ialah jawatankuasa Parlimen yang dibentuk untuk meneliti laporan daripada Ketua Audit Negara dan meneliti kewangan kerajaan serta wang yang diperuntukkan oleh Parlimen untuk perbelanjaan awam.
KUASA
Jawatankuasa itu juga mempunyai kuasa untuk memanggil menteri, orang awam, penjawat awam dan pegawai lain ke jawatankuasa itu untuk disoal siasat selain membuat susulan terhadap penemuan audit awam.
Seramai 12 ahli PAC baharu dilantik pada 24 Mei lalu sekali gus melengkapkan keanggotaannya orang, terdiri daripada sembilan Ahli Parlimen kerajaan dan lima pembangkang.
Kelmarin, menurut pemfailan syarikat induk Boustead Holding kepada Bursa Malaysia, kerajaan Persekutuan dilaporkan menandatangani perjanjian baharu dengan BNS yang akan menyambung semula projek LCS.
Kontrak tambahan keenam yang ditandatangani itu dilaporkan memerlukan BNS untuk menghantar lima LCS dan bukannya enam kapal, dengan jumlah harga kontrak disemak kepada RM11.2 bilion, meningkat daripada RM9 bilion sebelum ini.
Baru-baru ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan setuju meneruskan projek perolehan Kapal Second Generation Patrol Vessel (SGPV) berkeupayaan Littoral Combat Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Serentak itu juga, sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) telah ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan bagi memindahkan hak milik Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) sebagai anak syarikat kementerian terbabit selaras dengan syarat yang dipersetujui.
Menurut Mohamad, pelaporan berkala kepada Parlimen melalui PAC juga akan diberikan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali supaya kemajuan projek LCS dapat dipantau bersama oleh semua pihak. – UTUSAN










