PETALING JAYA: Kira-kira 3.1 juta pencarum yang membuat pengeluaran menerusi empat skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) belum dapat membina semula jumlah simpanan masing-masing.
Menurut KWSP, jumlah tersebut bersamaan dengan 39 peratus daripada jumlah keseluruhan 8.1 juta ahli KWSP yang membuat pengeluaran dengan kadar simpanan mereka ketika ini sekitar RM890 sahaja.
Daripada 8.1 juta ahli KWSP yang membuat pengeluaran, 0.3 juta (empat peratus) telah mencapai umur 55 tahun ke atas, melayakkan mereka untuk membuat pengeluaran penuh terhadap semua simpanan mereka.
Sebanyak 4.6 juta pencarum atau 59 peratus telah mula membina semula simpanan masing-masing dengan pertumbuhan simpanan bersih berjumlah RM26.1 bilion dalam tempoh lapan bulan selepas membuat pengeluaran.
Namun, peratusan ahli KWSP yang akan mencapai jumlah simpanan asas sebanyak RM240,000 pada usia 55 tahun menurun mendadak iaitu daripada 36 peratus pada 2020 kepada hanya 29 peratus pada akhir 2022.
ANGKA
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, angka itu menunjukkan hampir lima juta ahli KWSP mampu membina semula simpanan masing-masing tetapi masih ramai yang bergelut untuk membuat caruman selepas setahun membuat pengeluaran.
Menurut beliau, situasi itu menyebabkan desakan terhadap pengeluaran khas untuk kali kelima menjadi tidak praktikal, sebaliknya hanya akan memburukkan keadaan terutama bagi ahli KWSP yang kekurangan wang secara ketara dalam simpanan masing-masing.
“Perkara ini berlaku apabila mereka yang keluarkan simpanan sebelum ini hanya boleh membuat caruman setiap bulan dengan kadar yang terlalu kecil, mereka juga mungkin tidak ada pendapatan tetap, tidak ada pekerjaan, diberhentikan atau baru sahaja mendapat pekerjaan baharu.
“Bagi mereka, usaha untuk membina semula simpanan itu agak sukar dan akan mengambil masa yang agak lama,” kata beliau ketika dihubungi.
Menurut Abu Sofian, situasi itu menunjukkan, ahli KWSP tidak boleh terlalu bergantung kepada pengeluaran khas, sebaliknya mereka perlu mencari ikhtiar lain dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup.
KERJA
“Mereka boleh berniaga kecil-kecilan, boleh membuat kerja sambilan atau ceburi bidang baharu, sekurang-kurangnya boleh menambah pendapatan. Jadi, ada banyak lagi cara untuk meraih pendapatan dan menampung perbelanjaan hidup, tidak boleh harap KWSP semata-mata,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan KWSP tidak bersetuju dengan desakan membenarkan pengeluaran kali kelima duit caruman kerana ketika ini bukan masa kecemasan seperti tempoh penularan Covid-19.
Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein berkata, hasil kajian pihaknya mendapati hanya pengeluaran kali pertama hingga ketiga iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang benar-benar tulen untuk keperluan harian seperti membeli makanan, barangan dan membayar hutang.
Bagaimanapun, dedah Nurhisham, Pengeluaran Khas keempat yang dibenarkan pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu iaitu sebanyak lebih RM40 bilion kebanyakannya digunakan oleh mereka bukan untuk keperluan asas, tetapi digunakan untuk pelaburan termasuk membeli emas dan simpanan kecemasan.
DISOKONG
Pendirian KWSP yang tidak bersetuju dengan pengeluaran khas kelima turut disokong oleh Kongres Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Presiden MTUC, Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, pengeluaran khas kelima tidak wajar jika seramai 6.7 juta pencarum berusia bawah 55 tahun masih mempunyai simpanan kurang RM10,000 bagi mengelakkan beban kewangan ketika persaraan.
Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman pula khuatir terhadap pekerja yang perlu bekerja selama empat hingga enam tahun lagi untuk menampung semula jumlah yang mereka keluarkan dan menjangkakan hanya tiga peratus daripada rakyat Malaysia mampu bersara dengan selesa.
Presiden Cuepacs, Adnan Mat juga menyifatkan, jika pengeluaran KWSP terus dibenarkan, lebih ramai yang akan bersara dengan jumlah simpanan terlalu rendah dan lebih ramai ‘pesara miskin’ di masa akan datang. – UTUSAN










