Lebih 500 Orang Asli Pos Lebir bimbang air kering

Lebih 500 Orang Asli Pos Lebir bimbang air kering

SEORANG penduduk Orang Asli, Maria Manggis menadah air hujan di hadapan rumahnya di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Gua Musang, Kelantan.-UTUSAN/ AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 500 masyarakat Orang Asli dari suku kaum Mendriq dan Bateq di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini diselubungi kebimbangan selepas air tandak yang menjadi sumber utama urusan harian mereka mulai kering akibat cuaca panas.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, masyarakat Orang Asli mengakui cuaca panas itu memberikan kesan kepada kehidupan mereka ketika ini.

Seorang penduduk Orang Asli, Halim Lilin, 60, berkata, cuaca panas dan kering ketika ini menyebabkan dia terpaksa menadah air hujan di luar rumah sebagai persediaan bagi mengelakkan kehabisan sumber untuk kegunaan minum dan memasak.

“Pada masa sama, kami turut membeli air mineral di kedai sebagai langkah bersiap sedia kerana air tandak sudah kering.

“Selain itu, ada juga penduduk menunggu dan menadah air hujan di hadapan rumah mereka sebagai bekalan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Hamzah Pucuk, 60, memberitahu, cuaca panas ketika ini menyebabkan penduduk terpaksa mengehadkan aktiviti pertanian di kawasan kebun dan masuk ke hutan.

Katanya, setiap hari mereka hanya melakukan kerja sehingga pukul 11 pagi kerana tidak mahu terdedah dengan cuaca panas.

“Cuaca ketika ini sudah tidak macam dulu apabila rasa sejuk dah tak ada. Air dalam bukit pun dah jadi kering sehingga kita pun susah nak mandi.

“Anak-anak saya juga kerap demam dan saya membawanya jumpa bomoh kampung untuk rawatan,” ujarnya.

Sementara itu, Rose Bolek, 49, pula berkata, kebanyakan masyarakat Orang Asli berkurung dalam rumah kerana tidak tahan dengan cuaca panas ketika ini.

Katanya, dia juga mengawal enam anaknya agar tidak bermain di luar rumah ketika waktu tengah hari.

“Sekarang ini, hujan jarang turun. Kami terpaksa pergi ke Sungai Lebir untuk mandi kerana air tandak hampir kering.

“Kami berharap ada pihak sudi menyalurkan bantuan bekalan air bersih terutamanya untuk kami minum dan memasak,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN