Lebih 150 pengamal media berkampung di Ipoh sempena Hawana

Lebih 150 pengamal media berkampung di Ipoh sempena Hawana 2023

PENGAMAL media yang menyertai Kejohanan Boling Hawana 2023 di Ipoh Bowl, AEON Kinta City di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lebih 150 pengamal media dari seluruh negara berkumpul di bandar raya Ipoh sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 yang bermula hari ini. 

Bertemakan ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’, sambutan yang diadakan hingga Isnin ini dimulakan dengan pertandingan mencari harta karun Media Hunt Hawana hari ini. 

Sambutan dimeriahkan lagi dengan Kejohanan Boling Hawana 2023 di Ipoh Bowl, AEON Kinta City, di sini melibatkan 58 pengamal media.

Ini disusuli dengan Majlis Santapan Malam di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada pukul 7.45 malam, antara pengisian sempena program sambutan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis santapan.

Majlis sama dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Untuk esok, Hawana akan dimulai pukul 8.30 pagi dengan sesi Forum Hawana bertajuk ‘Masa Depan Media.’ yang akan dirasmikan oleh Fahmi, bertempat di Hotel Casuarina @Meru, di sini, yang membincangkan topik mengenai kelangsungan media tradisional dalam era digital, selain usaha menarik hasil pengiklanan.

Pada sesi itu, Ketua Pengarang Jakarta Post, M. Taufiqurrahman; Penasihat Kanan Persatuan Pengiklan Malaysia, Mohammad Kadri Taib dan Ketua Pengarah Radio Television Malaysia (RTM), Suhaimi Sulaiman dijangka berkongsi perspektif berdasarkan kepakaran masing-masing.

Antaranya mengenai kelangsungan media tradisional serta bagaimana media terbabit dapat mengekalkan pengiklannya termasuk mengenai penyesuaian kendiri, inovasi dan transformasi kewartawanan.

Selepas merasmikan forum itu, Fahmi menghadiri Rumah Terbuka Media Perak di Medan Istana, di sini iaitu program sesi sembang santai antara menteri bersama pengamal media di Perak.

Majlis Kemuncak Hawana 2023 akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada petang esok kira-kira pada pukul 2 petang di Hotel Casuarina @Meru.

Penyampaian Anugerah Hawana 2023 dan program Penyampaian Kasih@Hawana turut diadakan pada majlis kemuncak itu.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional dan ia dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya