SHAH ALAM: Lebih 7,000 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di peringkat sekolah rendah seluruh negara disaran menubuhkan koperasi demi manfaat pelajar.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, statistik mendapati penubuhan koperasi itu hanya melibatkan 22 sekolah setakat ini.
Jelas beliau, koperasi seumpama itu mampu membantu PIBG dan alumni menambah pendapatan dalam mempelbagaikan aktiviti kepada murid sekolah.
“Keahlian itu bagaimanapun tidak melibatkan murid berusia bawah 13 tahun seperti yang tertakluk dalam akta ditetapkan.
“Angkasa sedia membantu penubuhan Koperasi PIBG dan Alumni itu yang mampu memberi manfaat kepada lebih dua juta pelajar sekolah,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG kali ke-29 Sekolah Kebangsaan Taman Alam Megah, hari ini.
Menurut Abdul Fattah yang juga Presiden Kesatuan Koperasi ASEAN (ACO), gerakan koperasi ketika ini menumpukan kepada penubuhannya di peringkat menengah.
“Statistik mendapati lebih 2,490 koperasi itu didaftarkan di seluruh negara dengan nilai perolehan berjumlah RM430 juta.
“Justeru, kita menganggap koperasi di sekolah rendah perlu turut digerakkan oleh PIBG dan alumni sekaligus memberi hasil positif,” ujarnya.
Tambah beliau, penubuhan koperasi juga mampu membentuk semangat keusahawanan yang tinggi di kalangan murid sekolah.
“PIBG hanya perlu mengadakan mesyuarat agung dan mendaftarkan koperasi mereka dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Selain pelajar, ia juga boleh menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada komuniti setempat di kawasan masing-masing,” jelasnya. – UTUSAN










