KONVENSYEN: Politik kepartian, perkauman jauh dari semangat

KONVENSYEN NASIONAL: Politik kepartian, perkauman jauh dari semangat asal -Noraini

NORAINI Ahmad berucap pada Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.-UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Politik kepartian dan perkauman sudah menjauhkan kita daripada semangat Malaysia yang asal. Inilah perlunya kita usaha dan kembalikan”.

Begitu penegasan Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang turut menyatakan sekiranya mengimbas kembali sejarah kemerdekaan, Malaysia bermula dengan perpaduan antara semua kaum mahupun agama.

Menurut beliau, semangat tersebut perlu diperkukuhkan kembali dan bersama dalam berganding bahu membawa perubahan yang baik untuk rakyat.

“Bila kita melihat Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini, struktur dan kerangkanya sudah jelas. Ia merangkumi semua parti yang terlibat melangkaui sifir politik, agama serta kaum. Satu kerjasama didambakan oleh semua.

“Namun, apakah kestabilan dan kerjasama ini dapat dizahirkan di semua peringkat, kita tidak boleh bertangguh lagi kerana dua perkara tersebut perlu dirasai rakyat serta ahli parti,” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam Konvensyen Nasional di  Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Konvensyen itu merupakan himpunan daripada 19 parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO berkata, beliau tidak menolak timbul rasa janggal pada awal peringkat semasa Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

Namun, jelasnya, ketika ini bukan masa untuk mencari salah dan silap sebaliknya jadi pentas untuk bekerjasama terutama dalam berhadapan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi

“Mungkin betul pada peringkat awal ini agak janggal. Siapa sangka saya akan duduk semeja dengan Aiman Athirah Sabu (Pengerusi Wanita Pakatan Harapan) dan Chong En (Ketua Wanita DAP).

“Dengan gabungan besar yang sarat dengan pengalaman, potensi yang ada ini tidak boleh disia-siakan. Ini bukanlah masa untuk kita mencari silap dan salah, ini bukan lagi masa untuk kita ungkit kisah dan cerita lama.

“Jangan kita bertangguh lagi. Lagipun, Kita bakal berdepan dengan cabaran bersama di PRN di enam negeri pada bila-bila masa sahaja dan tugas dan tanggungjawab yang menanti kita sangat besar,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN