TUMPAT: Penganjuran Konvensyen Nasional pada 14 Mei ini menjadi ‘jawapan balas’ Kerajaan Perpaduan kepada Proklamasi Melayu yang digerakan oleh bekas Perdana Menteri Ketujuh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, konvensyen berkenaan akan menggabungkan 19 parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, ia akan mencipta sejarah tersendiri apabila sebuah kerajaan berjaya menggabung sebegitu banyak parti politik sekali gus menjadi kesinambungan usaha yang pernah dilaksanakan Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak suatu ketika dahulu.
“Jadi Tun dan rakan-rakannya boleh teruskan Proklamasi Melayu sementara kami (Kerajaan Perpaduan) akan memberi fokus kepada Konvensyen Nasional.
“Pada 1969, Tun Razak telah menggabungkan tiga parti etnik utama di dalam Barisan Nasional (BN). Sekarang ia diteruskan dalam bentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di sempadan maritim negeri Kelantan, di sini hari ini.
Setiausaha Agung PKR itu memberitahu, Kerajaan Perpaduan bukan sahaja akur kepada titah perintah Yang Dipertuan Agong (YDPA) malah menggabungkan parti-parti politik demi membentuk kestabilan politik di negara ini.
Katanya, setelah terbentuk kestabilan politik, tumpuan diberikan pula kepada usaha membangunkan ekonomi diikuti pembelaan rakyat.
“Semua itu dilakukan dengan prinsip tata kelola yang baik seperti sering ditekankan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Kerana itu beliau (Anwar) sentiasa menyebut soal membanteras rasuah, pembaziran dan penyalahgunaan kuasa.
“Ini merupakan fokus utama kami yang menjadikan Proklamasi Melayu tersudut begitu sahaja. Kami merupakan sebuah gabungan inklusif mewakili segenap wilayah dengan pelbagai rupa etnik. Ini adalah teras Malaysia,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa apa yang diusahakan oleh Dr. Mahathir bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta beberapa tokoh laim akan terus diraikan.
“Mereka boleh teruskan dengan Proklamasi Melayu dan kita tidak mahu terlalu melayan isu itu sebaliknya terus fokus kepada memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Rakyat boleh membuat perbandingan bahawa rupa dan wajah Malaysia sebenarnya ada pada gabungan-gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan yang semakin stabil selepas menempuh tempoh enam bulan,” katanya.-UTUSAN