Kerajaan setuju bina dua PPR baharu di Johor - Utusan Malaysia

Kerajaan setuju bina dua PPR baharu di Johor

MOHD. JAFNI MD. SHUKOR (tengah) bergambar dengan beberapa penghuni selepas melawat flat awam di Kangkar Pulai, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan Persekutuan meluluskan pembinaan dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu di negeri ini, iaitu di Larkin dan Kulai.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, kedua-dua projek itu dijangka melibatkan sebanyak 600 unit kediaman dan proses pemilikan tanah sedang dijalankan serta pembinaan dijangka dimulakan tahun depan.

“Sebelum ini, Johor ada membuat permohonan kepada kerajaan Persekutuan untuk membina beberapa unit PPR dan kini dua telah diluluskan, iaitu di Larkin dan Kulai. 

“Kos pembinaan masih belum diketahui, namun kebiasaannya bagi satu projek PPR sebanyak 300 unit rumah dan memakan belanja lebih RM100 juta,” katanya selepas melawat Flat Awam di Kangkar Pulai, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dan Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad.

Mohd. Jafni turut memberitahu, sebanyak empat kawasan flat awam telah menjalani proses pemulihan dan pemeliharaan demi keselesaan dan kesejahteraan penghuninya.

“Setakat ini, empat kawasan flat awam, iaitu di EDL, Saujana, Taman Ungku Tun Aminah dan di Kangkar Pulai di sini telah dimulakan kerja-kerja pembaikan. Antara kerja yang dibuat termasuk penjagaan kebersihan, mengutip sampah-sarap, mengecat semula bangunan, pembaikan tempat letak kenderaan, perpaipan dan pembersihan longkang.

“Kerja-kerja ini akan diteruskan secara berfasa kerana melibatkan kos yang agak besar. Sebagai contoh, kerja mengecat di flat awam Kangkar Pulai di sini melibatkan belanja RM6 juta, manakala kerja-kerja di flat awam EDL pula sebanyak RM20 juta,” jelasnya.

Baru-baru ini Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan terhadap tahap kebersihan dan penyelenggaraan flat-flat di negeri ini yang kebanyakannya dalam keadaan daif serta dipenuhi sampah-sarap sehingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya