JOHOR BAHRU: Kerajaan akan menambah baik aspek kebajikan penjawat awam pelbagai agensi yang bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan di pintu masuk sempadan negara berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan komited dalam memperbaiki dan menambah baik sistem sedia ada bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di kedua-dua pintu sempadan tersebut, khususnya pada waktu puncak dan musim perayaan.
“Mengenai isu sumber manusia di BSI dan KSAB, pihak berkuasa setuju untuk mengkaji semula waktu pertukaran syif semasa waktu puncak, menyelesaikan isu kekurangan staf imigresen, isu pentadbiran seperti tuntutan elaun kerja lebih masa serta menitikberatkan kebajikan staf dengan menambah baik ruang rehat, keselesaan kaunter seperti penghawa dingin dan kerusi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat antara kerajaan negeri dan Kementerian Dalam Negeri yang diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Ruji Ubi serta turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan), Datuk Zakaria Shaaban.
Onn Hafiz berkata, beberapa perkara telah dibincang dan dipersetujukan kedua-dua pihak, termasuk melibatkan isu-isu teknikal di BSI dan KSAB.
“Di BSI, yang dirancangkan adalah pemasangan kamera CCTV untuk pemantauan kaunter, penggabungan kaunter, ubah suai e-gate, projek ‘automatic land barrier’ (ALB), penambahan bumbung di M-Bike dan penyelenggaraan pendingin hawa.
“Di KSAB pula melibatkan penambahan bumbung di M-Bike, penambahbaikan bumbung di dewan penumpang, mengkaji semula pemasangan penghadang jalan bagi tujuan penyuraian trafik sebelum sampai ke pusat pemeriksaan, penambahbaikan papan tanda arah serta mengkaji keperluan penyediaan bas pengantara dari kawasan rehat dan rawat ke KSAB bagi mengelakkan kenderaan masuk ke laluan bas,” jelasnya.
Menteri Besar berkata, kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama dalam memperbaiki dan menambah baik sistem sedia ada bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut. – UTUSAN