PETALING JAYA: Sebanyak RM1.7 bilion barangan kontraban, haiwan dan hidupan liar serta pelbagai barangan kawalan dirampas Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) dalam tempoh tiga tahun sejak 2021 hingga April lalu.
Jumlah tersebut membabitkan RM658.6 juta bagi tahun 2021, RM540.2 juta pada 2022 dan RM538.2 juta dalam tempoh empat bulan tahun ini.
Timbalan Pengarah (KDNKA) Wildlife Crime Bureau (WCB) Perisikan dan Siasatan Khas (PSK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azlin Sadari berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 4,460 kes dicatatkan dengan menahan 7,288 orang untuk tahun 2021, 4,505 kes dengan tangkapan 8,186 orang pada 2022 serta 1,653 kes dengan 2,134 orang ditangkap sejak Januari hingga April lalu.
Katanya, bagi kes kontraban, sebanyak 508 kes dengan tangkapan 480 orang serta rampasan bernilai RM190 juta sepanjang tahun lalu berjaya ditumpaskan KDNKA.
“Untuk tahun ini, kita berjaya menahan 177 individu melibatkan 156 kes dengan rampasan berjumlah RM88.1 juta.
“Bagi kehidupan dan haiwan liar pula, kita mengesan 255 kes melibatkan tangkapan seramai 293 orang dengan rampasan bernilai RM29 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini semalam.
Dalam pada itu, Azlin berkata, sebanyak 143 kes membabitkan barangan kawalan antaranya minyak masak, diesel dan petrol dengan rampasan RM9.8 juta untuk tahun lalu.
“Bagi tahun ini sahaja, sebanyak 109 kes dicatatkan dengan rampasan sebanyak RM34.75 juta barangan kawalan.
“Rampasan dan jumlah kes dicatatkan tahun ini meningkat disebabkan operasi yang proaktif dijalankan KDNKA bagi membanteras kegiatan penyeludupan di negara ini,” katanya.
Azlin menegaskan, pelbagai pihak memainkan peranan dalam mengekang aktiviti penyeludupan terutamanya pemilik stesen minyak di seluruh negara.
“Mereka perlu mengambil langkah berjaga-jaga selain mengambil tindakan tegas terhadap individu yang tidak bertanggungjawab yang cuba menyeludup minyak ke negara jiran,” katanya.-UTUSAN