Jemaah Malaysia diserang dehidrasi

Jemaah Malaysia diserang dehidrasi

SYED Saleh Syed Abdul Rahman memeluk salah seorang jemaah sambil diperhatikan oleh Adnan Hussain (dua dari kanan) di Abraj Janadriyah, Mekah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Jemaah haji Malaysia sekali lagi diingatkan supaya menjaga kesihatan dan minum air secukupnya ketika cuaca panas mencecah 40 darjah Celsius ekoran terdapat beberapa kes melibatkan dehidrasi yang berlaku baru-baru ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jemaah tersebut hampir terkena strok haba tetapi berjaya dipulihkan selepas dinasihatkan supaya berehat bagi mengembalikan kesihatan dan keupayaan diri masing-masing.

Bagaimanapun katanya, kes tersebut agak terpencil kerana melibatkan hanya beberapa individu daripada kumpulan pertama jemaah yang ketika itu berada di Madinah.

“Petugas Tabung Haji (TH) bahagian perubatan telah menasihatkan mereka supaya berehat sebelum jemaah berkenaan dapat meneruskan ibadat dan aktiviti yang telah disusun.

“Sebab itu kita telah menyusun jadual supaya kumpulan jemaah pertama KT01 seramai 284 orang melakukan umrah pada waktu malam hari ini (semalam) bagi mengelakkan mereka mengalami dehidrasi dan bersesak di mataf serta mas’a,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Terdahulu, Syed Saleh hadir bagi meraikan ketibaan kumpulan jemaah tersebut dari Madinah dalam sambutan yang cukup istimewa bersama petugas muassasah Arab Saudi dan TH di hotel Abraj Janadriyah di sini.

Sebanyak 1,160 jemaah haji Malaysia masuk ke Mekah semalam melibatkan empat kumpulan iaitu KT02 hingga 04 yang ditempatkan di Abraj Janadriyah dan Land Premium.

Hadir sama Pengerusi Kumpulan Masyariq Arab Saudi, Adnan Hussain Mandourah.

Menurut Syed Saleh, pergerakan antara bandar telah bermula semalam dan TH telah mengarahkan pasukan peronda lebuh raya memantau pergerakan bas dan memberi khidmat di kawasan rehat dan rawat dari segi kesihatan atau kerosakan kenderaan.

Tambahnya, setakat ini operasi haji berjalan seperti yang dirancang sejak dua minggu lalu oleh petugas TH.

Sementara itu, Adnan Hussain berkata, kerjasama dengan TH telah lama terjalin dan mereka sangat bersyukur kerana dipilih untuk menyantuni dhuyufurrahman Malaysia.

“Arab Saudi begitu mengambil berat mengenai jemaah haji dan sentiasa memastikan perjalanan haji berjalan dengan sempurna dan selamat,” katanya sambil mendoakan agar jemaah tahun ini mendapat haji yang mabrur.

caption
SYED Saleh Syed Abdul Rahman memeluk salah seorang jemaah sambil diperhatikan oleh Adnan Hussain (dua dari kanan) di Abraj Janadriyah, Mekah semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya