JDT berpeluh tumpaskan Sri Pahang 2-0 - Utusan Malaysia

JDT berpeluh tumpaskan Sri Pahang 2-0

BERGSON Da Silva
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI:  Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan skuad Tok Gajah 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Keputusan tersebut sekali gus melebarkan rekod kemenangan skuad Harimau Selatan kepada 12 perlawanan berturut-turut dan meletakkan noktah buat rekod tanpa kalah pasukan Sri Pahang FC (SPFC).

Biarpun mendominasi permainan, skuad kendalian Esteban Solari dilihat buntu untuk membuka jaringan apabila pasukan pelawat bertahan dengan baik.

Sri Pahang yang turun tanpa kelibat Izham Tarmizi Roslan, Syazwan Andik Ishak dan Azrif Nasrulhaq berjaya mengekang kemaraan Harimau Selatan yang giat melancarkan serangan untuk memburu gol awal.

Bergson Da Silva berpeluang melepaskan rembatan ke arah pintu gol Sri Pahang pada minit ke-18, namun percubaannya tepat ke arah penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin.

Pada minit ke-26, giliran pemain pertahanan, Feroz Baharudin yang berada di bahagian atas melepaskan rembatan deras ke gawang lawan namun tidak berjaya menewaskan penjaga gol Sri Pahang.

JDT yang kerap melakukan serangan dari bahagian sayap kiri dengan Arif Aiman Hanapi dan Matthew Davies silih berganti membuat hantaran ke kotak penalti namun tidak berjaya mencari Bergson atau Fernando Forestieri.

Pada minit ke-40, JDT mencipta peluang keemasan untuk memecahkan kebuntuan setelah hantaran lintang Davies berjaya disambut Afiq Fazail yang melepaskan rembatan, malangnya berjaya diselamatkan Zarif Irfan.

PENJAGA gol Sri Pahang FC, Muhammad Zarif Irfan bekerja keras mengawal gawang gol pada perlawanan Liga Super menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Ketika permainan babak pertama hampir tamat, benteng ampuh skuad Fandi Ahmad akhirnya bolos menerusi jaringan Bergson pada penghujung separuh masa pertama.

Gerakan yang diilhamkan oleh Jordi Amat yang melakukan hantaran jauh melepasi benteng Sri Pahang mencari Forestieri yang membuat hantaran kepada Bergson di dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan voli melepasi kawalan penjaga gawang lawan.

Bersambung babak kedua, Harimau Selatan terus buas melakukan serangan ke arah gawang lawan bagi mencari kedudukan selesa menerusi Bergson dan Forestieri, namun benteng pertahanan Tok Gajah cukup kompak menutup ruang.

Sri Pahang dilihat bermain lebih terbuka berbanding babak pertama namun tidak berjaya memasuki kawasan JDT apatah lagi berpeluang untuk mencipta gol penyamaan.

Gol kedua yang diburu pasukan tuan rumah akhirnya hadir pada minit ke-74 hasil jaringan cantik Forestieri yang membuat sepakan lencong dari luar kotak penalti melepasi jangkauan penjaga gol Sri Pahang.

Biarpun dilihat sukar untuk mengubah kedudukan tersebut, Sri Pahang tetap melancarkan serangan balas menerusi percubaan Kpah Sherman pada minit ke-80 namun berjaya diselamatkan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

JDT hampir menambah jaringan menerusi percubaan Oscar Arribas dan Arif Aiman pada minit ke-83, namun gagal dan keputusan kekal hingga wisel penamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya