PETALING JAYA: Seramai 93,647 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal mendapat sijil peperiksaan dalam tempoh dua tahun sejak 2020 sekali gus menimbulkan persoalan berhubung masa depan dan hala tuju belia Malaysia.
Berdasarkan analisis SPM 2021, dilaporkan 45,526 calon gagal menerima sijil manakala pada SPM 2020 direkodkan 43,235 pelajar.
Syarat pensijilan SPM mulai 2013 menetapkan calon perlu lulus Bahasa Malaysia dan Sejarah untuk menerima sijil dan memohon pekerjaan dan melanjutkan pengajian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, semua pihak khususnya kerajaan tidak boleh terlepas pandang terhadap keciciran lepasan SPM kerana situasi itu menggambarkan sesuatu tidak baik terhadap generasi masa depan apabila berlaku lambakan belia ketinggalan arus pendidikan dan pekerjaan.
Menurut beliau, kebanyakan pelajar tersebut terdiri dalam kalangan yang tidak menguasai 3M iaitu membaca, mengira dan menulis sekali gus menyebabkan mereka gagal lulus Bahasa Melayu dan Sejarah serta akhirnya langsung tidak memperoleh sijil SPM.
“Jika mereka tercicir dalam pembelajaran, maka masa depan mereka juga sama terkesan kerana tiada ruang untuk memohon kursus kemahiran apatah lagi peluang pekerjaan.
“Berdasarkan pengalaman, para pelajar terlibat kebanyakannya tidak menguasai 3M kerana beberapa faktor. Dua penyelesaian terbaik adalah beri peluang pekerjaan atau serapkan mereka menjalani kursus separuh mahir di kolej-kolej kemahiran,” katanya ketika dihubungi semalam.
GAGAL
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan memaklumkan pelajar yang tidak menduduki SPM atau gagal boleh mengambil peperiksaan SPM Ulangan (SPMU) yang dilaksanakan pada setiap tahun.
Selain SPMU, pelajar juga boleh menduduki peperiksaan SPM sebagai calon persendirian pada tahun-tahun berikutnya.
Susulan itu, menurut Fouzi, Kementerian Pendidikan perlu melihat semula peranan Kolej Vokasional sebagai saluran kepada pelajar yang tidak cemerlang pendidikan untuk menyambung pengajian dalam kursus kemahiran teknikal.
Katanya, buat masa kini mereka perlu bersaing dengan pelajar lain apabila semakin ramai memohon memasuki Kolej Vokasional yang mampu menawarkan latihan kemahiran yang menjurus kepada sijil dan diploma vokasional setanding institusi pendidikan lain.
“Bermula dari awal lagi untuk pelajar kurang cemerlang akademik, kita boleh fokuskan mereka dalam bidang kemahiran dengan menawarkan tempat di Kolej Vokasional berbanding terus membiarkan belajar di sekolah dan akhirnya ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata, syarikat atau industri wajar melihat pengambilan tenaga kerja dalam kalangan calon-calon gagal SPM dengan menyerapkan mereka melakukan jenis pekerjaan separuh mahir berbanding mengutamakan pekerja asing.
“Saya lihat calon SPM tercicir perlu diberikan pekerjaan atau beri latihan kemahiran berbanding kita membiarkan ketinggalan berbanding. Dengan dua cara ini, potensi mereka dapat digilap sekali gus boleh melahirkan produk tenaga kerja tempatan berkualiti tinggi,” katanya.
Pada masa sama, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom menjelaskan, belia gagal SPM masih mempunyai masa depan dengan mengambil peperiksaan itu semula.
Katanya, gagal tidak bermakna masa depan gelap kerana peluang kedua harus diberikan sama ada mengulangi peperiksaan atau menceburi bidang lain.
“Semua pihak perlu memainkan peranan dalam soal ini tetapi lebih penting, kita kena tahu apa punca masalah dan mencari jalan penyelesaian dengan segera,” katanya. – UTUSAN











