KUANTAN: Gara-gara paparan video menunjukkan kemaluan yang dimuat naik golongan pedofilia dalam laman media, dua wanita khuatir selepas melihat gambar anak perempuan mereka turut terselit yang menjadi sasaran golongan tersebut.
Hanya mahu dikenali sebagai Madam Tan, dia berkata, penyebaran klip video itu dipercayai didalangi sekumpulan individu dipercayai warga Kemaman hingga turut membabitkan rakan laman sosial, Facebooknya.
Katanya, lebih membimbangkan, si pelaku berkemungkinan merupakan individu yang mengenali anak-anak mereka dan keluarganya.
“Pada 15 Mac lalu, kawan saya menelefon memberitahu ada gambar anak saya tersebar dalam video jijik di aplikasi Twitter.
“Gambar-gambar tersebut sebelum ini dimuat naik di Facebook story milik saya dan telah ditangkap layar oleh kenalan yang melihat hantaran itu. Bukan itu sahaja, malah dipaparkan sebagai latar belakang dalam klip video lucah yang kemudiannya menunjukkan kemaluan seorang lelaki dan terus dimuat naik ke laman Twitter.
“Lebih mengejutkan saya, video terbabit ada yang telah meraih lebih 2.4 juta tontonan di aplikasi itu sahaja,” katanya yang menetap di Kemaman di sini.
Mengulas lanjut, Madam Tan berkata, bimbang akan keselamatan anak-anak perempuan mereka yang berkemungkinan sedang menjadi mangsa sasaran pedofilia alam maya.
Jelasnya lagi, hampir setiap hari ada video dimuat naik di akaun Twitter tu dengan kapsyen bahasa Cina yang berbaur lucah.
“Sebelum ini, bukan anak saya sahaja, ada enam atau tujuh lagi gambar anak-anak perempuan kenalan saya di Kemaman.
“Jadi, saya dan rakan saya terus buat laporan polis sebab gambar anak-anak kami juga terlibat, namun setakat hari ini belum ada perkembangan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya lagi, berdasarkan pemantauannya, akaun Twitter yang menyebarkan video terbabit dipadamkan.
“Namun, berapa hari lepas, seorang lagi kawan saya datang bertanya jika saya tahu ada gambar kami di aplikasi Twitter. Katanya, gambar itu dihantar semula daripada kenalannya.
“Dari situ, saya sedar bahawa semakin ramai yang tahu berkenaan hantaran tersebut dan saya berasa sangat takut. Sebab itu, saya mohon pertolongan pelbagai pihak memandangkan sudah tidak tahu nak buat apa lagi.
“Disebabkan penyebaran video terbabit, anak-anak kami yang menjadi mangsa tidak dapat tidur kerana ketakutan dan sering menangis terganggu dengan penyebaran video itu” katanya.
Susulan daripada kejadian tersebut, tambahnya, semakin khuatir untuk melepaskan anak tunggalnya ke mana-mana, tambahan pula Dia bakal memasuki sekolah menengah tahun hadapan.
“Harapan saya agar polis dan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat siasatan terperinci untuk mengetahui dalang yang melakukan perbuatan keji ini,” katanya. -UTUSAN










