ALOR GAJAH: Masih terdapat pelajar memakai pakaian seragam meskipun Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan kelonggaran memakai pakaian sukan ke sekolah.
Tinjauan Utusan Malaysia Rabu lalu di beberapa sekolah sekitar Masjid Tanah di sini mendapati, pelajar dan guru masih mengenakan pakaian seragam dan berpakaian formal.
Seorang ibu, Muslimah Mazland, 35, berkata, anaknya hadir ke sekolah dengan memakai pakaian seragam kerana dia belum dimaklumkan mengenai kelonggaran tersebut secara rasmi oleh pihak sekolah.

Katanya, insiatif KPM itu tepat pada masanya kerana memberi keselesaan kepada pelajar ketika menuntut ilmu, selain dapat mengelakkan sebarang masalah kesihatan ketika cuaca panas.
“Saya belum dimaklumkan mengenai perkara ini secara rasmi, tetapi menyambut baik inisiatif berkenaan. Pemakaian baju sukan lebih selesa dan memberikan pengudaraan yang baik ketika berada dalam kelas,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr. Ahmad Rafee Che Kassim memaklumkan, KPM memberikan kelonggaran kepada pelajar termasuk guru untuk memakai pakaian sukan setiap hari semasa sesi persekolahan.
Katanya, langkah itu diambil berikutan cuaca panas yang sedang melanda negara dan dijangka berterusan sehingga Ogos.
Sementara itu, Wan Zurmi Wan Yaacob, 50, berkata, dia mengetahui mengenai kelonggaran tersebut melalui laporan media tetapi tetap menunggu makluman rasmi daripada pihak sekolah.

Katanya, pelajar sekolah rendah sangat aktif dan mereka memerlukan pakaian yang lebih sesuai semasa cuaca panas melampau ketika ini.
“Usaha KPM ini sangat baik kerana pakaian seragam agak tebal dan kurang sesuai dipakai walaupun pelajar berada dalam kelas. Pergerakan pelajar lebih bebas dan selesa jika memakai baju sukan,” katanya. – UTUSAN










