Harap pemilihan semula profesional, sihat - Utusan Malaysia

Harap pemilihan semula profesional, sihat

MOHD. HAIRI MAD SHAH (tengah) bergambar bersama ahli koperasi pada Majlis Amanat Bersama Gerakan Koperasi Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Salah seorang calon jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Mohd. Hairi Mad Shah berharap pemilihan semula UMNO Bahagian Johor Bahru tidak dicemari insiden yang boleh menjejaskan proses pengundian berkenaan.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, pemilihan semula yang akan diadakan pada 27 Mei ini perlu diadakan secara profesional dan sihat serta tiada lagi isu peribadi atau lebihan undi berlaku yang menjadi punca pemilihan pada 18 Mac lalu digantung.

“Saya yakin dengan kredibiliti Badan Perhubungan UMNO negeri untuk jaga imej UMNO Johor. Saya akan buka gelanggang ini secara profesional dan pertandingan sihat serta bukan nak cari kesilapan mana-mana individu.

“Akhirnya, pertandingan ini diadakan secara kekeluargaan dan selepas habis (pemilihan) saya tetap akan jumpa lawan saya. Siapa sahaja yang menang, kita perlu bermuafakat balik (kerana) UMNO ini dipandang tinggi oleh orang luar,” katanya diminta mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam bahawa pemilihan semula itu akan diadakanbdi Hotel Berjaya Waterfront pada 27 Mei ini.

Mohd. Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri ditemui selepas Majlis Amanat Bersama Gerakan Koperasi Negeri Johor 2023 di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Johor, Fadilah Salim dan Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Sazali Abd. Hamid.

Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru pada 18 Mac lalu ditangguhkan dan digantung selepas berlaku pertambahan bilangan kertas undi melibatkan perwakilan yang hadir.

Keputusan itu menyaksikan pemilihan melibatkan semua jawatan dipertandingkan terjejas, termasuk jawatan Ketua UMNO bahagian, Timbalan Ketua UMNO bahagian serta Naib Ketua UMNO bahagian.

Dalam pada itu, Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin yakin pemilihan semula itu tidak akan mengundang perpecahan dalam kalangan ahlinya.

Selain Mohd. Hairi, jawatan Ketua UMNO bahagian tersebut ditandingi bekas Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Yahya Jaafar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya