KUCHING: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menyatakan komitmen dan kesungguhan bagi membantu kerajaan Sarawak menyelesaikan isu ‘naked tower’ dalam masa tempoh dua minggu lagi.
Menterinya, Fahmi Fadzil menegaskan, isu berkaitan menara telekomunikasi yang tidak mempunyai piring satelit itu akan dibincangkan bersama-sama dengan pengendali rangkaian mudah alih (MNO).
“Saya mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengadakan perbincangan dengan semua syarikat telekomunikasi untuk menyelesaikan semua masalah perkongsian rangkaian dan insya-Allah, bermula bulan Jun ini, beberapa aspek teknikal dan juga persefahaman di peringkat komersial mampu kita lakukan dan saya harap, kita dapat mulakan jalan penyelesaian masalah jaringan telekomunikasi di Sarawak.
“Ini kerana perkara seperti ini, menghampakan rakyat dan komuniti khususnya di kawasan yang mengalami capaian internet yang tidak memuaskan yang mana menara Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dibina, tetapi belum boleh digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2023, di Plaza Merdeka di sini hari ini.
Bagaimanapun, Fahmi tidak menafikan usaha menyelesaikan kemudahan internet di kawasan luar bandar Sarawak akan mengambil masa.
“Namun, ia mengambil masa sedikit kerana kita lihat ia akan turut melibatkan aspek-aspek komersial yang perlu diteliti.
“Tetapi saya percaya, dengan peruntukan undang-undang yang ada dan juga kerjasama yang kita bina dalam usaha mencari jalan ke depan dalam pelaksanaan rangkaian 5G, hubungan kerja antara pihak kerajaan dan swasta adalah baik dan ini bukan satu masalah yang saya rasa tidak boleh kita selesaikan,” tegas Fahmi.
Terdahulu, Fahmi dalam ucapannya menggesa agar pengendali MNO mengetepikan perbezaan peratusan rangkaian internet yang ditawarkan, sebaliknya memberi fokus kepada perkhidmatan yang baik kepada pengguna di negara ini.
“Oleh itu, kita mesti bekerjasama dan saya percaya dalam semangat Kerajaan Perpaduan, kalau parti-parti politik boleh ketepikan perbezaan, saya percaya MNO-MNO juga boleh ketepikan perbezaan untuk sama-sama memastikan perkhidmatan baik kepada rakyat.
“Malah, saya percaya rakyat apabila mereka membayar untuk satu pakej langganan, mereka mahukan keadilan dan kepuasan yang mereka langgan. Justeru, ketepikan perbezaan itu supaya kita bayar satu pakej, di mana kita berada di Malaysia dan kita mendapat liputan rangkaian yang sama,” jelasnya.
Untuk rekod, daripada 600 menara telekomunikasi yang dibina oleh SDEC, hanya 70 menara beroperasi sejak tahun ini.
Justeru, kerajaan Sarawak menyasarkan 55 lagi jumlah menara akan beroperasi menjelang perayaan Hari Gawai Dayak akan datang, menjadikan keseluruhan 125 sasaran menara dioperasikan dan mendapati liputan rangkaian internet di kawasan yang tidak mempunyai liputan rangkaian telefon. -UTUSAN