Dua beradik lemas, ibu, emak saudara cedera mandi pantai - Utusan Malaysia

Dua beradik lemas, ibu, emak saudara cedera mandi pantai

ANGGOTA bomba dan polis mengangkat dua beradik yang lemas ketika mandi-manda di Pantai Tanjung Buloh, Tanjung Sedili, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kegembiraan sebuah keluarga mandi-manda di Pantai Tanjung Buloh, Tanjung Sedili dekat sini bertukar tragedi apabila dua daripada mereka mati lemas petang tadi.

Dalam kejadian pukul 3.39 petang itu, dua beradik Siti Nursalina Johari, 10, dan Siti Rabiah, 13, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala ibu mereka, Mersidita Yunos, 46, dan ibu saudara, Saleha Haron, 27,  cedera dalam kejadian itu. 

Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba(PPgB) Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, seramai sembilan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian dalam membantu kerja menyelamat yang turut disertai 15 anggota polis, petugas Kementerian Kesihatan dan Majlis Perbandaran Pengerang.

“Difahamkan mangsa, dua beradik bersama keluarga dari Tiram beraya di Tanjung Sedili di rumah saudara mereka. Selepas itu mereka sekeluarga juga saudara lain pergi ke pantai untuk mandi manda. 

“Dua orang mangsa berjaya diselamatkan orang awam, manakala dua mangsa lagi telah lemas dan dibawa naik oleh orang awam ke darat sebelum anggota tiba di lokasi kejadian. 

“Dua mangsa merupakan kanak-kanak yang lemas kemudian telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan bedah siasat dan operasi ditamatkan pada pukul 4.42 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN