PETALING JAYA: Pelakon, Farid Kamil optimis rumah tangganya mampu diselamatkan selepas isterinya, Diana Danielle menerima cincin dan lapan barang kemas pemberiannya, bulan lalu.
Farid berkata, dia kekal teguh dengan prinsip mempertahankan ikatan perkahwinan mereka, lebih-lebih lagi selepas Diana mengirimkan ucapan terima kasih melalui kedua-dua anaknya iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.
“Dari awal sampai sekarang, niat saya mahu mempertahankan keluarga dan perkahwinan kami.
“Saya sentiasa berfikir begitu sebab lihat masih ada harapan dan tanggungjawab pada masa akan datang,” kata beliau selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini semalam.
Farid ditemani ibunya, Datin Sharifah Bardah Syed Abdillah yang hadir berkerusi roda serta bapanya, Datuk Dr. Zahari Che Dan.
Sesi prosiding tersebut bagi mendengar laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) melibatkan pertemuan antara plaintif dan defendan sebelum ini, serta sebutan pertama kes nusyuz difailkan Farid pada 6 April lalu.
Farid menegaskan tuntutan nusyuz terhadap isterinya bukan berniat memburukkan keadaan, namun mahu menegakkan haknya mengikut hukum Islam.
Peguam syarie mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, rumah tangga pasangan itu tidak dapat diselamatkan kerana plaintif nekad bercerai.
Disebabkan itu, beliau meminta jasa baik Hakim Syarie, Shukran Yusof mengarahkan defendan berdasarkan Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam untuk melafazkan talak serta-merta.
“Defendan (Farid) tak bersetuju (lafaz talak). Jadi pihak hakim merujuk satu lagi proses rundingan seterusnya iaitu hakam Islah.
“Kalau proses itu berjaya defendan akan lafaz talak, kalau tidak perlu ke proses lain iaitu hakam mahkamah,” katanya.
Mahkamah sama menetapkan 15 Jun ini sebagai tarikh menetapkan prosiding hakam Islah bagi pasangan terbabit. – UTUSAN










