Buli jalanan: Bekas mekanik mengaku salah memandu gopoh, tiada lesen - Utusan Malaysia

Buli jalanan: Bekas mekanik mengaku salah memandu gopoh, tiada lesen

T. Ilavarasan (tengah) mengaku salah di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas pertuduhan memandu secara gopoh serta tiada lesen memandu di Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH), Port Dickson, hujung bulan lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang bekas mekanik didenda sebanyak RM1,900 selepas dia mengaku salah memandu secara gopoh serta tiada lesen memandu di Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH), di sini, hujung bulan lalu.

Tertuduh, M. Ilavarasan, 23, mengaku salah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, V. Vanita.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh pada 28 April lalu kira-kira pukul 7.20 pagi di SPDH telah memandu dengan gopoh menggunakan kenderaan Toyota Vios hingga membahayakan nyawa manusia.

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM2,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, masa dan lokasi yang sama iaitu di Kilometer 20.9 SPDH telah memandu kenderaan tanpa lesen. Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh didenda tidak kurang RM300 hingga RM2,000 atau dipenjara tak lebih dari tiga bulan.

Majistret menjatuhkan hukuman denda RM1,500 dan empat bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua, Majistret menjatuhkan hukuman denda RM400 dan tiga bulan penjara jika gagal bayar.

Ahli keluarga tertuduh membayar denda tersebut.

TANGKAP layar rakaman video tular kejadian buli jalanan melibatkan dua buah kereta yang berlaku di Kilometer 20.9 Lebuhraya Seremban-Port Dickson dari Telok Kemang menghala ke Seremban pada 28 April lalu.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Noor Azizi Abdull Aziz.

Semalam pihak polis memaklumkan dua orang lelaki telah ditahan selepas dipercayai terlibat dalam satu kejadian aksi buli jalanan di Kilometer 20.9 Lebuhraya Seremban-Port Dickson dari Telok Kemang, di sini menghala ke Seremban pada 28 April lalu.

Video kejadian tersebut turut tular di media sosial selepas terkesan melalui aplikasi Facebook.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN