Belum tahu KJ, Noh, Shahidan calon PRN - Utusan Malaysia

Belum tahu KJ, Noh, Shahidan calon PRN

Nama-nama tiga personaliti politik ini belum diketahui akan dicalonkan PN pada PRN Selangor tidak lama lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiada perbincangan di peringkat Perikatan Nasional (PN) Selangor berhubung pe­nyertaan bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim, Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Perhubungan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari yang berkata, jawatankuasa pimpinan PN negeri belum mene­rima sebarang makluman berkenaan keputusan mereka untuk bersama parti berkenaan dalam PRN di negeri ini.

“Pimpinan pusat pernah menawarkan kepada KJ (Khairy Jamaluddin) untuk bertanding, tetapi beliau belum memberi maklum balas. Berkenaan calon lain termasuk Noh Omar pun kita tidak dimaklumkan lagi.

“Malah dalam pertemuan saya dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini pun tidak dimaklumkan me­ngenai penyertaan mereka untuk bersama Bersatu atau PN di Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia.

BAKAL

Terdahulu, akhbar ini me­laporkan Shahidan Kassim dan Khairy Jamaluddin disebut-sebut antara calon yang bakal bertan­ding dalam PRN di Selangor atas tiket PN.

Malah, Khairy turut dikatakan akan bertanding dalam salah satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Sungai Buloh berdasarkan kemampuannya memberikan saingan kepada Datuk R. Ramanan ketika bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Selain itu, Noh pula dilaporkan akan ber­tanding atas tiket PN dalam PRN di ne­geri ini yang dalam masa sama berikrar mahu menjadikan kawasan Tanjong Karang sebagai kubu kuat parti itu.

Dalam pada itu, Abdul Rashid Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang berkata, PN Selangor selesai membuat run­dingan agihan kerusi bersama komponennya dan mengesahkan negeri ini akan ditadbir oleh pimpinan daripada Bersatu.

“Selangor jadi milik Bersatu pernah dimaklumkan oleh pre­siden sebelum ini dan rundingan kerusi kita dengan komponen seperti Pas dan Gerakan sudah pun selesai. Cuma ada satu, dua pertindihan kerusi kita serahkan kepada pimpinan pusat untuk putuskan.

“Rundingan dimuktamadkan pada hujung Mac lalu dan kini run­dingan seterusnya pula adalah untuk melantik calon-calon yang akan bertan­ding dalam PRN nanti,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN