JOHOR BAHRU: Dalam usaha merealisasikan agenda Johor Selamat, kerajaan negeri meluluskan pembelian 1,500 sistem televisyen litar tertutup (CCTV) untuk dipasang di tiga bandar raya di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, pemasangan itu melibatkan 500 unit di setiap kawasan pentadbiran tiga pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) selaras dengan agenda ‘The Greater Johor Bahru’
Menurutnya, inisiatif tersebut bagi menggantikan kamera yang rosak termasuk peranti tidak berfungsi yang ditempatkan di kawasan tumpuan orang ramai di sekitar bandar raya ini.
“Di peringkat kerajaan telah meluluskan kertas kerja dalam ‘The Greater JB’ melibatkan PBT, iaitu MBJB, MBIP, MBPG, dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu). Tiga bandar raya telah mendapat kelulusan untuk membeli 500 unit kamera AI setiap bandar raya, manakala MPKu sebanyak 100 unit.
“CCTV ini akan menggunakan kamera AI, iaitu menggunakan teknologi tinggi yang boleh ‘scan’ (mengecam) wajah, nombor plat kereta dan data-data yang kita peroleh melalui apa yang kita ‘scan’ itu.
“CCTV ini akan ada ‘command centre’ (pusat kawalan) yang ada pautan dengan ‘command centre’ pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pelaksanaan penguatkuasaan bukan sahaja di peringkat PBT, malah melibatkan pihak polis,” katanya ditemui selepas menghadiri Program Gotong-Royong Johor Bersih Perdana Bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Legaran Sungai Segget, di sini hari ini.
Mohd. Jafni berkata, pemasangan CCTV di semua PBT berkenaan akan dilaksanakan menjelang hujung tahun ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sepanjang tempoh Februari hingga April lalu, MBJB telah mengeluarkan 10 kompuan RM500 dan 250 notis amaran ke atas individu sebagai tindakan penguatkuasaan kerana kesalahan membuang sampah di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Kerajaan negeri dalam keputusan akhir, iaitu menunggu kelulusan penguatkuasakan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), iaitu melaksanakan kompaun serendah RM50 serta-merta ke atas mereka yang membuang sampah di merata-rata tempat.
“Dasar ini akan melibatkan semua 16 PBT yang ada di negeri ini sebagai tindakan khas bukan sahaja kepada individu yang membuang sampah, malah mereka yang merosakkan harta benda kerajaan dan vandalisme,” katanya. – UTUSAN