Bekalan gula kembali pulih Khamis ini

Bekalan gula kembali pulih Khamis ini

AFFENDI Rajini Kanth (tengah) mengadakan pertemuan bersama wakil pengilang dan pemborong gula di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bekalan gula di Kedah yang terjejas sejak beberapa minggu lalu dijangka kembali pulih bermula 1 Jun ini.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, masalah yang timbul sebelum ini berpunca daripada kerosakan dialami satu-satunya kilang gula di Kedah sejak 16 April lalu.

Katanya, kerosakan itu diatasi sepenuhnya pada 17 Mei lalu, namun kilang tersebut didakwa memerlukan masa untuk kembali mengeluarkan gula pada kadar sepatutnya.

“Akibat kerosakan yang berlaku, penghasilan gula oleh kilang tersebut berkurangan daripada 400 metrik tan sehari kepada cuma 250 metrik tan sehari. Keadaan itu menjadi punca kepada kekurangan bekalan gula di negeri ini. 

“Bagaimanapun kita sudah mendapat aku janji daripada pengilang yang mereka akan berusaha untuk kembali mencapai tahap pengeluaran 400 metrik tan sehari menjelang 1 Jun ini. Maka kita berharap isu ini akan ditutup ‘bukunya’ pada tarikh tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama pihak pengilang selain 14 daripada 20 pemborong gula di Kedah di sini, hari ini.

Tambah Affendi, dalam pertemuan itu pihaknya turut menegaskan agar tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan termasuk mengenakan syarat tertentu kepada pengguna mahu pun peruncit bagi mendapatkan gula.

“Kalau peruncit atau pemborong buat catuan kerana nak pastikan pembeli dapat gula selain mengelak pembelian panik, itu tak mengapa dan kami tak akan halang. Tetapi kalau letak syarat pembeli perlu beli gula premium terlebih dulu sebelum dibenarkan membeli gula kasar, itu dilarang di bawah akta kawalan bekalan. 

“Kami tak akan benarkan perkara itu berlaku dan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang berbuat demikian,” katanya.

Ditanya dakwaan kononnya kekurangan gula di Kedah disebabkan peniaga menyorok bekalan itu berikutan terdapat ura-ura kenaikan harga, Affendi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi atau mengesan mana-mana peniaga yang berbuat demikian.

“Sebenarnya tak ada isu pun kerana sehingga kini tidak ada arahan mahu pun keputusan untuk menaikkan harga gula kasar. Sebenarnya apa yang berlaku hanyalah kekeliruan akibat daripada kewujudan gula premium yang lebih mahal harganya.

“Jadi isu berkaitan peningkatan harga gula ini sebenarnya tak timbul. Hakikatnya, masalah gula di Kedah ini berpunca daripada kerosakan yang berlaku di kilang gula tersebut,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN