PETALING JAYA: Sebanyak 65,529 unit rumah bernilai sehingga RM14 bilion dikesan terbengkalai di Semenanjung sekali gus merugikan pembeli yang terpaksa membayar pinjaman kepada bank.
Daripada 65,529 unit sebanyak 32,081 sudah dibeli tetapi malangnya tidak dapat didiami kerana projek-projek itu termasuk dalam kategori projek sakit.
Berdasarkan statistik Jabatan Perumahan Negara, sehingga 31 Mac lalu, Selangor antara lima negeri tertinggi memiliki projek sakit iaitu 93 projek diikuti Pahang (71), Perak (54), Johor (45) dan Kelantan (37).
Jika mengambil kira seunit rumah harga RM150,000 hingga RM200,000, maka keseluruhan kediaman daripada 453 projek swasta itu mencecah RM10.4 bilion hingga RM14 bilion.
Kebanyakkan projek sakit itu membabitkan projek berstatus landed iaitu sebanyak 317 projek dan selebihnya projek berstatus strata highrise dan strata landed.
Projek sakit bermaksud pembinaan kediaman lewat melebihi 30 peratus berbanding kemajuan sepatutnya atau telah tamat tempoh Perjanjian Jual Beli (PJB).
PEMBINAAN
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar hartanah, Dr Azizul Azli Ahmad meminta orang ramai untuk berhati-hati dan mengelakkan membeli kediaman dalam pembinaan lebih-lebih lagi ketika situasi ekonomi tidak menentu ketika ini.
Menurut beliau, orang ramai perlu mengambil iktibar pada 1998 yang menyaksikan 500 pemaju gulung tikar dan menyebabkan banyak projek rumah terbengkalai.
“Justeru dalam situasi sekarang, orang ramai kena berhati-hati sebelum beli rumah. Jika pernah terjadi pada tahun 1998, mungkin boleh berlaku pada masa kini.
“Bayangkan jika satu pemaju ada banyak unit, maka lebih rumah sakit dan ramai yang menjadi mangsa keadaan rumah tidak siap,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan pihaknya mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi mencari penyelesaian terhadap projek perumahan swasta yang dikategorikan sakit.
Kor Ming berkata, kementerian memandang serius isu tersebut dan jawatankuasa itu ditubuhkan bagi melindungi hak dan kepentingan pembeli rumah.
KEDIAMAN
Mengulas lanjut, Azizul Azli meminta orang ramai untuk membeli kediaman yang sudah siap berbanding kediaman masih dalam pembinaan bagi mengelakkan menjadi mangsa rumah sakit.
Mengikut data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) terdapat 30,964 unit rumah siap tetapi tidak terjual di seluruh negara.
Justeru, orang ramai yang berhajat membeli rumah disaran memilih kediaman yang sudah siap berbanding rumah bersatus dalam pembinaan.
“Bagi mengelakkan menjadi mangsa rumah sakit apatah lagi rumah terbengkalai, lebih baik beli rumah siap dibina lebih-lebih lagi seperti ketika ini yang ekonomi tidak menentu,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa projek sakit, Mustapa berkata, dia terpaksa menanggung sewa rumah RM1,000 sebulan gara-gara kediaman yang dibelinya pada 2018 belum siap sehingga kini.
Kata Mustapa, dia sepatutnya menerima kunci pada pertengahan 2022 namun projek tersebut bermasalah dan dikatakan lewat siap.
“Patutnya kami sudah masuk rumah tapi belum siap, terpaksa sewa lagi dan sambung kontrak sewa sehingga dapat rumah,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Aziz berkata, dia pernah berdepan masalah projek sakit apabila kediaman mampu milik dibeli pada 2017 tidak siap dalam tempoh ditetapkan sehingga dia terpaksa menyewa rumah lain sementara disiapkan pada hujung 2021.
Katanya, pemaju gagal memberikan pampasan kepada penduduk ekoran kelewatan itu dan hanya mengambil mudah dengan sikap tersebut.
“Saya anggap ia mimpi ngeri apatah ia rumah pertama saya. Sudahlah kita gaji cukup-cukup makan, tetapi sikap pemaju yang gagal siap mendatangkan banyak masalah kepada kami,” luahnya. – UTUSAN









