3 unit kedai di Tanjung Api, musnah 100 peratus 

3 unit kedai di Tanjung Api, musnah 100 peratus 

API marak begitu cepat menyebabkan tiga unit kedai di Tanjung Api, Kuantan,dekat sini, musnah seratus peratus dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 malam semalam. -GAMBAR Ihsan JBPM Pahang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak tiga unit kedai musnah dalam kebakaran di Lorong Tanjung Api 12, dekat Kampung Tanjung Api, di sini, kira-kira pukul 7.20 malam tadi. 

Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sebaik menerima laporan berkaitan kejadian, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan bersama lima pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kebakaran.

Menurutnya, kebakaran itu membabitkan kemusnahan 100 peratus, bagaimanapun tidak ada kemalangan jiwa yang berlaku dalam kejadian itu. 

“Ketika di awal kebakaran, keadaan api terlalu kuat hingga menyebabkan ia marak dengan cepat.

“Susulan itu, pasukan pertama yang melakukan kerja pemadaman kebakaran terpaksa meminta bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dan Gebeng. 

“Dengan itu, secara keseluruhannya, seramai 28 pegawai dan anggota bomba terbabit dalam operasi memadam dan mengawal kebakaran itu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini. 

Turut hadir di lokasi kejadian, Pengarah Bomba Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa bagi memantau operasi tersebut.

Sementara itu, Zulfadli memberitahu, pihak bomba turut mendapat bantuan lima lagi jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dan Gebeng. 

Jelasnya, dalam usaha memadamkan dan mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan berhampiran, pihak bomba telah menggunakan jentera Aerial Ladder Platform dan teknik ‘water tower’.

“Namun begitu, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN