KUALA PILAH: Dua lelaki bertopeng bersenjatakan parang melarikan tujuh kilogram emas bernilai RM1.8 juta selepas menyamun dua pekerja syarikat pembekal barang kemas di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.37 pagi di luar sebuah kedai emas dengan video kejadian tersebut turut tular dalam media sosial.
Pengurus Kedai Emas Nur Jannah Kuala Pilah, Noorhasliza Abd. Rahman berkata, pihaknya mengetahui kejadian berkenaan sebaik sahaja dimaklumkan dua kakitangan pembekal barang kemas yang terus masuk ke kedai selepas mereka disamun.
“Kejadian ini sudah tular dan semua bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sudah diserahkan kepada polis. Kami juga sudah membuat laporan polis berhubung kejadian ini dan kedai beroperasi seperti biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Ujar beliau, kejadian samun itu pertama kali berlaku di kawasan tersebut yang mempunyai kira-kira 10 kedai emas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abd. Wahab ketika dihubungi berkata, pihaknya akan memberi kenyataan selepas siasatan dijalankan.
Sementara itu, rakaman video menunjukkan dua lelaki yang membawa beg dipercayai berisi emas diserang dua suspek sebaik sahaja mereka keluar dari kereta.
Dua penyamun itu kemudian merampas beg tersebut dan melarikan diri dengan sebuah kereta.
Turut kelihatan dalam video berdurasi 33 saat itu sebuah kereta lain yang mengekori kenderaan dinaiki kedua-dua penyamun terbabit. – UTUSAN










