KUANTAN: “Apabila sudah pikul tanggungjawab, jangan tinggal macam itu sahaja.”
Demikian kata pengurus Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Seri Permai Taman Tas, Mohamad
Fauzi Ramli, 34, kepada Utusan Malaysia yang 11 tahun tidak pulang beraya bersama keluarganya di kampung halaman di Sungkai, Perak.
Kata Fauzi, semuanya dilakukan kerana mahu menjaga 24 penghuni rumah kebajikan itu yang rata-ratanya gelandangan dan orang tua disisihkan keluarga.
Menurutnya, tanggungjawab dan amanah diberikan kepadanya untuk mengurus pusat jagaan orang tua lebih penting untuk ditunaikan menyebabkan hasrat pulang ke kampung sentiasa diketepikan.
“Perasaan rindu pada ayah di kampung memang sentiasa ada, apatah lagi menjelang raya dan mengenang pula berhari raya dengan adik-beradik.
“Saya tidak boleh lepas tangan, saya kena betul-betul menjaga penghuni rumah ini kerana tiada petugas lain lagi di sini,” katanya di sini semalam.
Bercerita lanjut, Fauzi berkata, tempoh 11 tahun itu bukan masa singkat malah dalam waktu tersebut hampir setiap tahun terpaksa menerangkan kepada keluarga tentang tugasnya.
“Alhamdulillah, ayah, adik-beradik dan keluarga lain faham malah mereka pula akan menjenguk saya di sini sebelum raya jika keadaan mengizinkan,” ceritanya yang sayu setiap kali mendengar tadbir raya.
Sementara itu, katanya, cabaran tetap dalam menangani tugas itu kerana ada pihak yang mempertikaikan tindakannya meninggalkan keluarga di kampung tetapi menjaga ibu bapa orang lain.
“Ada juga saya ajak ayah duduk bersama tetapi biasalah orang tua, bukan mahu duduk dengan anak lama-lama, teringat kucing, ayam, itik di kampung.
“Kali terakhir beraya bersama keluarga pada 2011 dan apabila rumah kebajikan dibuka memang tidak balik kampung langsung. “Ada juga mencari pembantu atau sukarelawan untuk menggantikan saya sementara waktu tetapi semuanya datang sehari sahaja kerana tidak sanggup” katanya. – UTUSAN











