KULAI: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang di kawasan mendaki gunung berdekatan Taman Gemilang, di sini petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak Bomba Daerah Kulai pada pukul 3.30 petang memaklumkan mangsa, Liew Yoo Foo, 63, hilang di kawasan tersebut.
“Sejurus makluman diterima, pihak kita bersama-sama pasukan bomba dan penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa di kawasan mendaki gunung berhampiran di Jalan Suasa yang dipercayai lokasi terakhir mangsa dilihat.
“Pada pukul 4.18 petang, operasi mencari yang dijalankan menjumpai basikal yang digunakan oleh mangsa serta topi basikal di puncak Bukit Gemilang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beng Yeow berkata, pusat kawalan tempat kejadian (PKTK) telah dibuka di tempat kejadian dan hingga kini mangsa masih belum ditemukan.
“Pihak polis, pasukan bomba serta pasukan mendaki gunung awam masih berusaha mencari mangsa yang hilang,” katanya. – UTUSAN