KOTA BHARU: Pergerakan Wanita UMNO Kelantan dan Wanita Pakatan Harapan sepakat untuk menuntut kerusi bagi membolehkan mereka meletakan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama tadi.
Ketua Wanita UMNO negeri Norwahida Patuan berkata, pihaknya menyasarkan untuk menuntut kerusi dengan nisbah 3:3 atau 6:6 bagi diberikan daripada keseluruhan 45 kerusi yang dipertandingkan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan selepas menjalin kerjasam menerusi Kerajaan Perpaduan.
“Wanita sendiri merupakan sebahagian kekuatan Umno di Kelantan berikutan jentera kita paling ramai. Jadi saya rasa ini memberi kelebihan untuk kita memperjuangkan kerusi bagi calon wanita,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar dan Ramah Mesra Wanita Kerajaan Perpaduan di Kubang Kerian, di sini semalam.
Majlis yang merupakan usaha permulaan untuk menjalinkan ukhuwah dan kerjasama Wanita Kerajaan Perpaduan itu turut dihadiri Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Kelantan, Dr. Hafidzah Mustakim dan Ketua Wanita PKR Kelantan, Nor Azmiza Mamat.
Norwahida yang Ketua Wanita Umno Bahagian Jeli berkata, pihaknya menyedari laluan perjuangan Wanita Kerajaan Perpaduan pada PRN nanti terutama di Kelantan penuh kesukaran berikutan berdepan lawan yang kuat.
“Saya tidak menyangkal kekuatan Dewan Muslimat Pas Kelantan kerana mereka mempunyai kekuatan tersendiri tetapi untuk mengatakan mereka terlalu kuat pun tidak juga.
“Walaupun boleh dikatakan rakyat di negeri ini sudah tepu dengan Pas, namun sebenarnya sudah terdapat banyak penolakan terhadap parti itu pada PRU-15 lalu. Namun faktor pengundi luar menjadi punca kekalahan kita sebenarnya,” ujarnya.
Wahida turut menegaskan pihaknya sama sekali tidak akan berputus asa walaupun telah melalui perjuangan cukup panjang untuk merampas tampuk pemerintahan negeri ini melalui pilihan raya.
“Perkataan putus asa tidak ada dalam konsep perjuangan Wanita Umno Kelantan. Lebih 16,000 jentera kita merupakan tulang belakang parti dan buatlah macam mana pun kami akan tetap di sini dan tetap bekerja untuk parti.
“Prinsip utama perjuangan ini adalah untuk agama, bangsa dan negara. Saya akui ia sememangnya sukar tetapi kita tidak mungkin berputus asa dan percaya keajaiban boleh berlaku pada bila-bila masa.” katanya.-UTUSAN