Tubuh Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan - Utusan Malaysia

Tubuh Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sekretariat Hartal Doktor Kontrak menuntut Kementerian Kesihatan dan ke­rajaan segera menubuhkan Su­ruhanjaya Perkhidmatan Ke­si­hatan dan Reformasi Kesihatan bagi memperkasakan kebajikan dan jaminan kerjaya staf ke­sihatan kontrak di negara ini.

Sekretariat itu turut menuntut supaya wakil mereka dilantik me­nganggotai Jawatankuasa Pe­ringkat Tertinggi yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan bagi membincangkan krisis dan isu-isu melibatkan ke­pentingan doktor kontrak.

Seterusnya, mereka me­­nun­tut pihak kementerian dan kerajaan memberi hak sama rata da­ri segi kebajikan untuk pegawai dan staf perubatan kontrak se­perti mana yang berjawatan te­tap.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap sekretariat itu berkata, tiga perkara tersebut dibangkitkan dalam pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan dinyatakan dalam memorandum mereka ba­gi me­nuntut kesaksamaan ke­­­bajikan untuk pegawai dan staf perubatan kontrak.

“Sekiranya isu ini ditangani dengan baik, kerajaan mampu menarik lebih ramai tenaga kerja profesional berkaitan sektor kesihatan yang secara tidak langsung mampu memberi jaminan keutu­han dan kejayaan reformasi sis­tem kesihatan di Malaysia,” ka­ta beliau di sini semalam.

JAMINAN

Perkara berkaitan jaminan kerjaya lebih adil adalah antara tiga tuntutan kepada kerajaan sebagai satu manifestasi dan kebimbangan barisan doktor dan staf kesihatan kontrak selepas dibelenggu isu-isu berkaitan kebajikan pekerjaan yang berpanjangan.

Walaupun ada usaha-usaha yang telah diambil kementerian sebelum ini, namun pihak­nya percaya ia mampu diatasi lebih baik dan ada sesetengah langkah perlu diperkasakan bagi menjamin kelangsungan dan masa depan golongan itu.

Dalam hal itu, kata jurucakap sekretariat itu lagi, pihaknya turut menuntut penyertaan wakil daripada Sekretariat Hartal Doktor Kontrak bagi menganggotai Jawatankuasa Peringkat Ter­tinggi yang ditubuhkan kementerian bagi membincangkan krisis dan isu-isu melibatkan kepentingan doktor kontrak.

“Kami percaya dengan peng­libatan wakil daripada sekretariat ini dapat memberi lebih makna dalam perbincangan mewakili suara dasar berkepenti­ngan yang dihadapi kami,” kata jurucakap berkenaan.

Mengenai tuntutan ketiga, sekretariat berkenaan mahu kerajaan menyegerakan proses penubuhan Suruhanjaya Perkhid­matan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan bertujuan memperkasakan kebajikan dan jaminan kerjaya untuk staf kesihatan kontrak di Malaysia.

“Kami tegaskan isu yang sedang membelenggu staf kesihatan kontrak haruslah dita­ngani segera.

“Segala jerih-perih dan pe­ngorbanan yang dicurahkan sepanjang pandemik Covid-19 tidak boleh dipandang sepi begitu sahaja. Adalah menjadi harapan kami agar permohonan ini dipertimbangkan sewajarnya dan langkah proaktif diambil segera,” katanya.

MENYERAP

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan akan menyerap 12,800 doktor kontrak yang tamat latihan klinikal (housemanship) ke jawatan tetap secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.

Langkah itu bermula dengan 4,300 pegawai kontrak akan diserapkan ke jawatan tetap tahun ini dan bakinya akan menyusul sehingga semuanya selesai menjelang 2025 membabitkan implikasi kewangan tambahan sekitar RM1.7 bilion.

Pada 1 April lalu, Kabinet turut bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak dengan jawatankuasa itu akan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi, termasuk membabitkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sebelum ini, kumpulan dikenali Mogok Doktor Malaysia mendakwa lebih 8,000 doktor kontrak melakukan mogok antara 3 hingga 5 April lalu de­ngan mengambil cuti perubatan atau kecemasan sebagai protes terhadap sistem tidak adil dan gaji rendah dalam sektor penjagaan kesihatan awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN