Tiada SOP khas Covid-19 sempena Aidilfitri - Zaliha - Utusan Malaysia

Tiada SOP khas Covid-19 sempena Aidilfitri – Zaliha

DR. ZALIHA MUSTAFA (tengah) melawat Wad Kanak-Kanak sempena lawatannya ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Kerajaan tidak bercadang mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khas menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini walaupun berlaku peningkatan kes baharu Covid-19 ketika ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah pencegahan yang telah dilaksanakan ketika ini diyakini mampu mengawal penularan wabak berkenaan.

Justeru, beliau meminta rakyat tidak perlu berasa panik kerana walaupun berlaku peningkatan kes baharu, namun situasinya masih terkawal.

“Memang jumlah kes Covid-19 sedang meningkat, tetapi masih dalam keadaan yang terkawal. Ini kerana penularan baharu melibatkan sub varian Omicron.

“Jadi, walaupun ia mudah untuk berjangkit, tetapi tahap keterukan bagi kes-kes itu adalah sangat rendah. Jadi, tidak perlu berasa bimbang,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Walaupun tiada SOP khas diperkenalkan, namun Dr. Zaliha menggalakkan masyarakat supaya mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh Aidilfitri ini, khususnya ketika berziarah ke rumah saudara mara.

“Pada musim perayaan ini, pastinya akan ada kunjung mengunjung dan makan-makan. Jadi, kita minta masyarakat peka, sekiranya berasa kurang sihat, lakukan ujian saringan sekiranya perlu.

“Jika benar mereka dijangkiti, ambil langkah pencegahan dengan menjaga jarak dan pergaulan, manakala langkah pencegahan lain seperti memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan dan menjaga kebersihan amat digalakkan,” katanya.

Dalam tempoh 9 hingga 15 April lalu, sebanyak 5,149 kes Covid-19 baharu dilaporkan dengan jumlah kumulatif kes yang dikesan sejak penularannya di negara ini  melebihi lima juta kes.

Sementara itu, Dr. Zaliha memberitahu, kementeriannya mempunyai senarai pendek beberapa calon untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Pengarah Kesihatan bagi menggantikan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang bersara wajib mulai Jumaat ini.

Noor Hisham telah memegang jawatan tersebut sejak 2013, manakala sepanjang tempoh 35 tahun dalam perkhidmatan, beliau antara individu penting ketika negara berdepan krisis kesihatan akibat Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN