Tiada kompromi salah laku rasuah

Tiada kompromi salah laku rasuah

ASYRAF WAJDI DUSUKI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang menteri membuktikan kepemimpinan sekarang tidak berkompromi dalam soal rasuah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak kira kerajaan mahupun pembangkang, pentadbiran di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telus selaras dengan kehendak masyarakat yang menginginkan kerajaan bebas rasuah daripada penyelewengan.

“Itu jelas kita tidak ada berkompromi dalam soal ini. Bermakna, kerajaan hari ini membuktikan tiada pendakwaan terpilih, tetapi jangan kita menghakimi seseorang itu daripada mahkamah awam.

“Seperti kes bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, dia belum tentu lagi bersalah, baru sahaja isu-isu teknikal, kita tidak tahu lagi apa kesnya. Dalam kes V. Sivakumar, pegawai-pegawai ditangkap, siasatlah, tapi jangan kita mendahului mahkamah awam,” katanya ketika ditemui semalam.

Kelmarin, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar disiasat SPRM berhubung dakwaan berkaitan wang bernilai jutaan ringgit.

Ahli Parlimen Batu Gajah itu dipanggil membantu siasatan susulan siasatan SPRM terhadap seorang pegawai tugas-tugas khas dan penahanan setiausaha sulitnya minggu lalu.

Sebelum ini Azlan turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mengulas lanjut, Asyraf turut berkata, kerajaan mengambil kira pendekatan rakyat yang sememangnya menolak rasuah dari dulu lagi, sekali gus diyakini perkara itu tidak akan berulang lagi dalam kepimpinan hari ini.

“Sudah pasti kita perlu pisahkan dari realiti yang rakyat bencikan perkara itu (rasuah), pada hari ini, takkan kita nak ulangi perkara yang sama? Kalau ada sesiapa sahaja yang terlibat dengan kesalahan, kita takkan berkompromi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN