JASIN: Seorang warga emas, Jaliah Yusof menagih simpati orang ramai untuk membantu membawa suaminya pulang ke tanah air selepas tidak mampu menjelaskan bil rawatan hospital di Mekah berjumlah RM150,000.
Jaliah, 62, berkata, suaminya pesara Jabatan Kerja Raya (JKR), Kamis Ahmad, 67, terkandas di Mekah, Arab Saudi selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Al Shefa Syarif Mansour akibat serangan jantung, sehari sebelum mereka sepatutnya pulang setelah menunaikan umrah 14 Mac lalu.
Katanya, akibat itu suaminya terpaksa menerima rawatan di hospital berkenaan selama lapan hari sehingga 22 Mac lalu.
Pesara guru itu berkata, keluarganya memerlukan dana RM150,000 bagi membayar kos rawatan, selain menguruskan proses membawa pulang Kamis yang telah pulih.
“Suami saya kini terpaksa ditahan di hospital berkenaan kerana belum menjelaskan bil rawatan akibat serangan jantung.
“Duit simpanan pun sudah habis, duit insurans tidak cukup hendak bayar bil RM150,000 perlu dijelaskan. Amat besar harapan saya agar rakyat Malaysia dapat bantu membawa suami saya pulang.
“Setakat ini, saya hanya dapat kumpul RM15,000 daripada rakan, jiran dan rakyat Malaysia yang prihatin sejak anak saya memuat naik kisah suami di laman sosial Facebook,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Merlimau di sini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Pergerakan Pemuda UMNO melancarkan tabung kilat bagi membantu sebuah keluarga dari Felda Kemendor dekat sini untuk membawa pulang seorang lelaki yang terkandas di Mekah, selepas mendapat rawatan hospital di tanah suci.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya juga akan menggerakkan tabung sumbangan di Bahagian UMNO seluruh negara.
Tambah Jaliah, dia, suami serta dua adiknya bersama pasangan masing-masing berangkat ke tanah suci 5 Mac lalu.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank, 554035429281 anak lelaki Jaliah, Syahmi Amar. – UTUSAN










