PUTRAJAYA: Sistem pembayaran tanpa tunai yang semakin meluas diguna pakai ketika ini terdedah digodam penjenayah siber.
Apatah lagi penggunaan kaedah bayaran itu diperluaskan untuk kemudahan tempat letak kereta menggunakan kad kredit atau debit yang membuka ruang kepada pihak ketiga untuk memanipulasi tempat pembayaran sehingga berlaku kebocoran data privasi pengguna.
Selain itu pelaksanaan sistem bayaran terbuka menggunakan kad debit atau kad kredit juga bakal dilaksanakan di lebuh turut menambahkan lagi risiko kebocoran data.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, isu jaminan melindungi keselamatan data ketika ini tidak meyakinkan dari pihak kerajaan kerana terlalu banyak siri kebocoran data berlaku.
Menurut beliau, perkara itu terbukti apabila hampir 22,000 mangsa direkodkan digodam scammer dengan catatan kerugian terkumpul kira-kira RM 850 juta.
Kata beliau, insiden itu sekali gus membuktikan wujud kelompongan besar dari sudut tata kelola digital tanpa ada polisi jelas melibatkan jaminan keselamatan siber sehingga data kerajaan sendiri boleh ‘dijual’ di pelbagai platform forum penggodam.
KEWANGAN
“Apabila kerap berlaku kes transaksi kewangan tidak sah dalam kalangan pengguna, kita tidak tahu di bahagian mana yang menyebabkan pemindahan haram itu boleh berlaku dengan sistem perbankan digodam.
“Sejauh mana integriti pelaksana teknologi pembayaran digital ini? Adakah syarikat menyediakan teknologi tidak perlu bertanggungjawab dan boleh terlepas sekiranya sistem ini gagal dalam aspek keselamatan siber dan mereka boleh cuci tangan bila berlaku kebocoran data?” soalnya di sini semalam.
Siraj berkata, kerajaan perlu ada mekanisme terperinci bagi menghalang insiden kebocoran data dan mempunyai solusi jelas untuk menyelesaikan isu utama dalam dunia teknologi ketika ini.
Ini termasuk mewajibkan syarikat penyedia teknologi digital perlu ada lesen yang dikeluarkan kerajaan sebagaimana diperuntukkan kepada syarikat kawalan keselamatan fizikal kerana alam maya turut memerlukan ‘kawalan keselamatan’.
“Majoriti rakyat adalah pengguna ICT termasuk pentadbir kerajaan tidak ada pengetahuan mahir dalam bidang ini. Mereka yang terlibat dalam ICT hanya kelompok minoriti, tetapi kita meletakkan kepercayaan 100 peratus, sedangkan kepercayaan diberikan itu amat mudah jadi rakus sehingga semakin ramai menjadi mangsa scam seolah-olah tidak ada penyelesaian.
“Kerajaan membina sistem digital berbilion ringgit melalui kontrak kepada syarikat penyedia teknologi tetapi ia dengan mudah boleh digodam, tetapi kita tidak pernah dengar syarikat ini dipertangungjawabkan,” katanya. – UTUSAN










