Sedih Daddy beraya seorang diri di penjara – Yana - Utusan Malaysia

Sedih Daddy beraya seorang diri di penjara – Yana

NOORYANA Najwa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keluhan hati anak yang tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama insan tersayang sudah pasti menjadi perkara paling sedih untuk dilalui.

Perkara tersebut turut dirasai anak kedua bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Nooryana Najwa Najib.

Secara eksklusif bersama Utusan Malaysia, Nooryana berkongsi kesedihan apabila ayahandanya baru-baru ini berbisik kepadanya tentang perasaan beliau yang bakal beraya seorang diri di dalam penjara tahun ini.

“Yana, I guess this will be the first time I will raya alone.”
“Daddy sempat bisik sebelum dibawa pulang ke Penjara Kajang. Sebagai seorang anak, memang mencabar melihat ayah berpuasa berseorangan di penjara. Lebih menyedihkan apabila kami terpaksa berdepan dengan realiti bahawa, kemungkinan besar, ayah akan menyam­but hari raya tahun ini di penjara juga.

“Kalau Datuk Seri Najib berdepan dengan sistem yang adil, Yana reda. Sumpah, Yana Reda. Datuk Seri Najib diheret balik kerana ketidakadilan,” keluh wanita itu.

Sebelum ini, Noor­yana turut berkongsi perasaan di media sosialnya mengenai perkhabaran ayahanda, berhajat untuk berbuka puasa dan solat berjemaah bersama keluarga.

Bagaimanapun, kata Noor­yana, namun hajat itu tidak kesampaian setelah panel hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan Najib terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Keputusan itu sekali gus menetapkan bekas Perdana Menteri itu akan terus menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Nooryana bagaimanapun ber­kata, beliau tidak akan berputus asa dengan rintangan dihadapi sebaliknya akan terus bersemangat untuk menegakkan keadilan.
“Ketua Panel, Hakim Besar Sabah & Sarawak, Yang Amat Arif Datuk Abdul Rahman Sebli sanggup menulis dalam keputusan kehakiman dengan begitu jelas bahawa berlakunya ketidakadilan terhadap Najib.

“Walaupun perjuangan untuk keadilan ini dipenuhi dengan cabaran, Yana tidak akan berhenti dan berputus asa.

“Yana menghargai sokongan dan doa anda semua. Kita akan teruskan perjuangan ini sehingga keadilan ditegakkan Insya­Allah,” kata Nooryana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×