Saksi kejadian penunggang motosikal hampir digilis treler diminta tampil bantu siasatan - Utusan Malaysia

Saksi kejadian penunggang motosikal hampir digilis treler diminta tampil bantu siasatan

TANGKAP layar video tular memaparkan seorang penunggang motosikal yang hampir dilanggar sebuah treler di Kilometer 276.2 Lebuhraya Utara-Selatan di Nilai, Seremban, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak polis meminta saksi kejadian terutama individu yang merakam video serta pemandu treler yang terlibat dalam kejadian kemalangan jalan raya membabitkan dua buah motosikal di Kilometer 276.2 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Nilai, kelmarin, supaya tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, video kejadian berkenaan berdurasi seminit 17 saat yang memaparkan seorang penunggang motosikal hampir dilanggar oleh sebuah treler dalam kemalangan jalan raya itu telah tular media sosial sejak semalam.

“Kedua-dua penunggang motosikal dan saksi kejadian masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan. Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis meminta saksi kejadian terutama individu yang merakam video serta pemandu treler yang terlibat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Zarina Arifin di talian 013-8238336 bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Abdul Malik dalam pada itu memberitahu, hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku lebih kurang pukul 4 pagi, 1 April 2023 di Kilometer 276.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan dari Nilai menghala ke Seremban.

“Kemalangan dipercayai melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang oleh seorang lelaki yang telah gagal dikawal sebelum melanggar sebuah lagi motosikal yang berada di hadapannya.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa penunggang motosikal dipercayai jenis Yamaha Y15ZR itu telah terjatuh di lorong paling kanan dan hampir dilanggar oleh sebuah treler yang dipandu di lorong kedua dari kanan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN