Remaja lelaki maut motosikal gagal potong kereta

Remaja lelaki maut motosikal gagal potong kereta

KEADAAN motosikal mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Chin Teck di Gua Musang, Kelantan, semalam.UTUSAN/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya gagal memotong sebuah kereta sebelum bertembung dengan motosikal jenis Honda EX-5 dalam kejadian di Jalan Chin Teck di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, mangsa, Fakrul Nizam Tozi, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal semasa kejadian mangsa dipercayai dari arah kawasan industri menghala ke Perumahan Chin Teck.

Menurutnya, setiba di lokasi mangsa dikatakan cuba memotong sebuah kereta dan kemudian bertembung dengan motosikal yang dinaiki oleh dua remaja perempuan dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, ketiga-tiga remaja terbabit mengalami kecederaan parah dan di bawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Gua Musang pada pukul 12 tengah malam dan kemudiannya dipindahkan ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini

Choon Foo memberitahu, kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian dan siasatan lanjut masih dijalankan.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN