PRN: Rundingan kerusi PH, BN masih terbuka - Utusan Malaysia

PRN: Rundingan kerusi PH, BN masih terbuka

SALAHUDDIN Ayub ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah dan Program Inisiatif Pendigital Sektor Peruncitan (REDI) Peringkat Negeri Sembilan di Bazar Ramadan Rahmah, Bandar Prima Senawang di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perundingan bagi pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri kelak masih lagi terbuka.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, rundingan mengenainya masih berlangsung meskipun pada dasarnya kedua-dua gabungan parti itu bersetuju bahawa setiap kerusi ditandingi oleh parti yang memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Jelas beliau, asas rundingan tersebut juga telah disepakati menerusi jawatankuasa yang dibentuk dalam Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan.

“Namun begitu, ia terbuka untuk perbincangan, tidak boleh dielakkan jika mahu berbincang tentang pembahagian kerusi, itu biasa dalam mana-mana proses pembahagian kerusi.

“Tetapi setakat ini perundingan itu telah berjalan dengan baik cuma keputusan itu mungkin akan diumumkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah dan Program Inisiatif Pendigital Sektor Peruncitan (REDI) Peringkat Negeri Sembilan di Bazar Ramadan Rahmah, Bandar Prima Senawang di sini hari ini.

Sebelum ini terdapat laporan yang menyatakan PH mungkin akan menyerahkan sekurang-kurangnya lima kerusi ‘selamat’ di Selangor kepada BN dalam langkah strategik bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, mengulas mengenai berlakunya pertambahan kerusi untuk ditandingi oleh Amanah pada PRN akan datang, Salahuddin berkata, ia terpulang kepada kata sepakat dalam perundingan itu kelak. 

“Bagi Amanah, (kerusi) yang menang itu biasanya tiada masalah, yang lain itu masuk balik dalam perundingan sama ada dapat atau tidak terpulang kepada perundingan yang diadakan secara baik,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN